Gonzalo Higuain teruja untuk kembali bekerjasama dengan bekas pengandalinya sewaktu di Napoli, Maurizio Sarri, selepas sah bergelar pemain Chelsea.

Higuain menyertai Chelsea menerusi perjanjian pinjaman selama enam bulan daripada Juventus malam tadi selepas menamatkan lebih awal musim kurang memberangsangkan bersama AC Milan.

Chelsea mempunyai pilihan untuk memanjangkan khidmat Higuain musim depan atau boleh membeli pemain itu dengan pembayaran €36 juta (RM169.5 juta).

Higuain cukup menyerlah sewaktu bersama Sarri dengan meledak 36 gol buat Napoli pada musim 2015-16.

Bintang Argentina itu menganggap penyatuannya bersama Sarri akan membantu memulihkan kembali prestasinya selepas hanya menjaringkan enam gol dalam 15 penampilan Serie A bersama skuad Rossoneri.

"Ia peluang yang tiba tanpa dipaksa. Saya tidak mampu melepaskannya," kata Higuain dalam laman web rasmi pasukan.

"Saya amat teruja untuk berada di sini.

"Kembali bersama Sarri dan menyertai kelab yang kaya dengan sejarah.

"Saya amat gembira untuk berpindah ke sini dan mahu terlibat dalam kesemua gol Chelsea menjelang penghujung musim ini.

"Saya seorang yang sentiasa mencari penambahbaikan dari hari ke hari.

"Apa yang paling penting adalah untuk kekal rendah diri.

"Apabila melakukan kesalahan, saya akan berusaha untuk memperbaikinya.

"Selain daripada itu, saya terbuka untuk mendengar kritikan daripada pihak lain.

"Saya bukan seorang yang suka bercakap mengenai diri saya.

"Saya lebih gemar memperbaiki kelemahan diri.

"Ia dapat mengeluarkan yang terbaik daripada saya dan membantu pasukan dalam setiap peluang yang tiba," katanya.

Jorginho merupakan bekas pemain Napoli yang turut berada di Stamford Bridge ketika ini dan Hugain lega kerana memiliki seorang lagi individu yang cukup dikenalinya.

"Sewaktu saya berada dalam prestasi terbaik, dia merupakan pemain tengah yang menyumbang kepada kejayaan itu.

"Dia juga rakan baik saya dan saya amat gembira untuk kembali bersamanya dalam satu pasukan.

"Saya berharap kami akan kembali menjadi gandingan yang mantap selepas ini," tambahnya.