EVERTON 1 TOTTENHAM HOTSPUR 1

Son Heung-min berasa terkilan selepas mencederakan pemain tengah Everton, Andre Gomes, yang berpunca daripada kekasarannya ketika terikat seri 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, kata pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino.


Gomes diusung keluar dengan kecederaan serius di kaki kanannya selepas dijatuhkan Heung-min dan berlanggar dengan Serge Aurier dalam babak kedua perlawanan di Goodison Park itu.

Penyerang Spurs itu, yang diarahkan keluar padang oleh pengadil, Martin Atkinson, kelihatan bingung dan terkilan sebelum dipujuk ke terowong pemain.

Insiden itu turut mencetuskan ketegangan di antara pemain kedua-dua pasukan.

Rawatan Gomes dan penilaian video bantuan pengadil (VAR) untuk menentukan sepakan penalti atau tidak, mendorong kepada penambahan 12 minit waktu kecederaan.

Kesempatan itu dimanfaatkan penyerang Everton, Cenk Tosun, untuk menjaringkan gol pada minit ke-97 bagi memadamkan gol pembukaan Dele Alli.

Bercakap kepada Sky Sports selepas tamat perlawanan, Pochettino berkata: "Saya amat bersimpati. Ia situasi yang amat buruk, nasib yang sangat malang tentang bagaimana dia mendarat.

"Kami hanya dapat berdoa untuknya dan sudah pasti, saya amat terkilan dengan situasi itu.

"Perlawanan ini tidak penting, keadaannya lebih penting.

"Kita boleh bercakap tentang bola sepak tetapi tidak akan berasa enak.

"Saya bersimpati terhadap apa yang terjadi. Ia amat-amat sukar.

"Perasaan sudah bertukar ketika itu.

"Kami bermain dengan baik dan hampir menjaringkan gol kedua.

"Amat sukar untuk menilai 10, 20 minit terakhir tetapi jika kita hanya bercakap mengenai bola sepak, saya gembira dengan prestasi dan cara kami bersaing.

"Sonny amat terkilan. Ketika situasi itu, dia amat bingung.

"Amat sukar untuk menenangkannya.

"Jika anda lihat situasi itu di TV, (anda dapat lihat) dia tidak berniat (mencederakan Gomes).

"Ia nasib yang amat malang buat Andre, buat keluarganya dan Everton.

"Sonny akhirnya dilayangkan kad merah dan sudah pasti kondisi perlawanan berubah.

"Dalam situasi itu, kami bertahan dengan baik tetapi dibolosi.

"Saya kecewa dengan keputusan ini," katanya.

Alli, yang kelihatan terkesan dengan kecederaan Gomes, menegaskan Heung-min tidak pernah berniat untuk mencederakan pemain itu.

"Saya tidak sanggup melihat apa yang berlaku. Apa yang saya boleh buat adalah mendoakannya agar cepat pulih," katanya kepada Sky Sports.

"Son amat terkilan, dia menangis tetapi ia bukan kesalahannya.

"Dia antara orang paling baik yang anda mahu bertemu dan dia bukan seperti itu.

"Dia tidak dapat mendongakkan kepalanya, dia tidak henti-henti menangis di dalam bilik persalinan," katanya.

Pengurus Everton, Marco Silva, memuji kebangkitan pasukannya sambil menantikan perkembangan mengenai Gomes, yang dikejarkan ke hospital.

"Dia sudah ke hospital, pasukan perubatan kami sudah mengambil alih segala urusannya.

"Mereka akan memberikan maklumat tentang situasinya.

"Kami perlu menunggu sedikit masa lagi untuk mengetahui keadaan sebenar.

"Ia situasi yang buruk buat pasukan kami.

"Kami akan terus menyokong Andre dan keluarganya.

"Sebagai satu pasukan, kami menunjukkan perpaduan dan semangat kebersamaan selepas kejadian itu.

"Saya tidak menonton semula kejadian itu, saya menyaksikannya secara langsung sahaja.

"Saya tidak boleh bercakap dengan anda mengenai kekasaran itu, ia terjadi selepas kekasaran itu," katanya.