Herrera selamatkan United, Mourinho makin tertekan

Oleh Staff Writer 2 Disember 2018 1272
Herrera selamatkan United, Mourinho makin tertekan
SOUTHAMPTON 2 MANCHESTER UNITED 2

Manchester United bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Southampton 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris yang tidak sedikitpun memberi kelegaan buat pengurus kedua-dua pasukan, Mark Hughes dan Jose Mourinho, awal pagi tadi.


Aksi di Stadium St. Mary itu menyaksikan masalah kecederaan yang melanda pelawat memaksa mereka untuk menyenaraikan Scott McTominay dan Nemanja Matic di barisan pertahanan.

Gara-gara itu, mereka ketinggalan dua gol dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan.

Gol pertama Romelo Lukaku dalam Liga Perdana Inggeris sejak September lalu, membantu merapatkan jurang sebelum Ander Herrera memastikan pungutan satu mata buat United yang semakin jauh daripada perebutan empat pasukan terbaik.

Hughes, yang menerima ancaman pemecatan sebelum ini, gagal membawa sebarang kemenangan buat The Saints dalam lapan perlawanan terakhir.

United gagal memanfaatkan kesilapan penjaga gol lawan, Alex McCarthy, pada minit ketiga.

Mereka kemudian dihukum menerusi percubaan pertama Southampton dengan Stuart Armstrong merembat kencang bola yang melepasi gapaian David de Gea, pada minit ke-13.

St. Mary sekali lagi bergema tujuh minit selepas itu selepas Cedric Soares menghasilkan sepakan percuma melencong yang menerobos ke gawang United dari jarak 25 ela.

Penyerang United, Marcus Rashford, gagal memanfaatkan peluang di depan gawang menerusi satu rembatan yang melambung tinggi, namun dia menebus kesilapan itu dengan membantu Lukaku memperoleh jaringan, 12 minit menuju waktu rehat.

Rashford sekali lagi bertindak bijak apabila membantu jaringan penyamaan Herrera.

Dia yang meluru masuk ke bahagian pertahanan Southampton, melakukan hantaran ke belakang yang mudah dikuis masuk rakan sepasukannya itu.

United menguasai keseluruhan babak kedua, namun gagal memberikan ancaman terhadap kubu lawan.

De Gea dipaksa berusaha keras dalam menafikan percubaan berbahaya Nathan Redmond sebelum tamat perlawanan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen