Thierry Henry sedia dipertimbangkan untuk mengisi kedudukan pengurus Arsenal apabila era Arsene Wenger berakhir dengan melabelnya sebagai jawatan impiannya.

Arsenal kalah 3-0 kepada Manchester City dalam final Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi tadi setelah memperagakan aksi hambar yang pasti meningkatkan tekanan ke atas Wenger, khususnya kerana pasukannya dipisahkan 10 mata dengan tiket Liga Juara-Juara (UCL) dan berdepan risiko kehilangan tempat buat musim kedua berturut-turut.

Desakan supaya pengurus berbangsa Perancis itu mengundurkan diri semakin kuat apabila sentuhannya merosot setelah mengemudi skuad utara London itu selama 22 tahun.

Kekalahan kepada City menerusi sentuhan berbisa Sergio Aguero, Vincent Kompany dan David Silva itu bermakna kempen Liga Europa kini menjadi peluang terakhir The Gunners untuk menjulang trofi musim ini.

Henry, yang muncul sebagai bintang berkelas dunia di bawah tunjuk ajar Wenger, disebut-sebut sebagai pengganti berpotensi apabila pengurus berusia 68 tahun itu pergi dan mengakui dia sedia memegang jawatan itu.

"Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan untuk saya," kata penolong jurulatih Belgium itu kepada Sky Sports.

"Berminat? Ya, siapa yang tidak?

"Namun, saya tidak boleh bercakap mengenainya kerana rasa hormat saya terhadapnya dan tugas saya ketika ini adalah bersama Belgium," ujarnya.