Jordan Henderson memuji keinginan Mohamed Salah untuk mempertingkatkan mutu permainannya selepas penyerang Liverpool itu dinobat sebagai Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA).

Salah mengetepikan bintang Manchester City, Kevin De Bruyne, untuk meraih gelaran bermakna itu kelmarin selepas mengharungi musim pertama yang gemilang di Anfield.

Berhijrah dari Roma, penyerang itu telah menyumbat 41 gol dalam semua kejohanan, membantu skuad kendalian Jurgen Klopp itu bukan sahaja dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL), malah membawa mereka ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Roma, awal pagi esok.

Henderson menyedari kehadiran Salah mampu menyinari pasukan selepas cemerlang dalam saingan Serie A di samping turut mengakui rakan sepasukannya itu telah melepasi setiap jangkaan.

"Saya berasakan kami menjangkakan dia akan menampilkan aksi cemerlang tetapi dia telah melangkauinya," kata Henderson.

"Dia terus meningkatkan mutu permainan dalam setiap perlawanan.

"Pengurus banyak membantunya sejak tiba di Liverpool, pemain-pemain lain juga bertindak cemerlang di sampingnya.

"Tetapi segala kerja keras terletak di tangannya. Dia sentiasa berada dalam gim, meningkatkan kekuatan dan pemain yang paling gigih dalam sesi latihan," ujarnya lagi.

Salah turut meledak gol ketika seri 2-2 dengan West Brom, merakamkan jaringan 31 dalam aksi EPL -- menyamai rekod pemain paling banyak menjaringkan gol dalam 38 aksi liga dalam tempoh semusim.