Jordan Henderson menegaskan Liverpool perlu lebih tajam di depan gawang selepas keputusan seri dalam pertemuan setempat Merseyside membuatkan kelebihan pemburuan kejuaraaan Liga Perdana Inggeris kini memihak Manchester City.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu naik ke tangga teratas liga selepas menundukkan Bournemouth 1-0 kelmarin sambil The Reds gagal memintas kembali selepas seri 0-0 dengan Everton awal pagi tadi.

Anak-anak buah Jurgen Klopp kini gagal menjaringkan gol dalam tiga daripada empat aksi terakhir bagi semua kejohanan, termasuk seri tanpa jaringan dua kali berturut-turut susulan diikat Manchester United minggu lalu.

Mohamed Salah gagal menyempurnakan peluang terbaik selepas usahanya dinafikan Jordan Pickford yang menebus kembali kesilapannya ketika menghadiahkan Liverpool kemenangan di Anfield, Disember lalu.

Henderson tidak dapat menjelaskan ketumpulan barisan depan pasukannya walaupun baru saja membelasah Watford 5-0, Rabu lalu.

"Banyak perkara sepatutnya berlaku," kata Henderson.

"Kami mencipta banyak peluang tetapi perlu lebih tajam, menjaringkan satu atau dua gol di tempat lawan dan bertahan secara berpasukan.

"Aksi di United dan Everton sangat getir. Anda tidak boleh menang dengan empat atau lima jaringan setiap minggu. Kami positif dan terus berusaha. Kami masih dalam pemburuan trofi sehingga ke akhirnya.

"Sememangnya kami mahu menang aksi sebegini tetapi inilah bola sepak. Kami mengutip satu mata dalam kedua-dua perlawanan tetapi masih banyak perlawanan dan kami perlu terus berusaha. Kami harus percaya dan terus berjuang," tambah Henderson.

"Jelas sekali kami kecewa kerana kami mahu datang dan mendapatkan mata penuh tetapi kami sedar ia akan sukar. Kami mencipta ruang yang cukup untuk menang dan bertahan dengan baik.

"Virgil Van Dijk dan Joel Matip bertahan dengan baik tetapi kami mengecewakan. Kami mahu menang setiap perlawanan, bertahan dengan baik tetapi harus lebih tajam di depan gol."