Jordan Henderson mengakui Liverpool perlu mengharapkan keajaiban untuk meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu berkelebihan dua mata di puncak liga, namun akan kembali dipintas andai Manchester City menewaskan Leicester City, awal pagi esok.

Ia akan mengakibatkan Liverpool ketinggalan satu mata menjelang aksi terakhir, hujung minggu ini di mana The Reds menantikan kunjungan Wolves manakala City pula akan bertandang ke laman Brighton and Hove Albion.

Henderson berkata pasukannya memerlukan bantuan daripada pasukan lain menjelang penghujung saingan musim ini.

"Kami pasti akan menonton perlawanan Isnin (awal pagi esok) ini dan mendoakan untuk keajaiban berlaku," kata kapten Liverpool itu kepada media di United Kingdom (UK).

"City adalah pasukan yang hebat, namun kami juga begitu.

"Sesiapa sahaja yang meraih kejuaraan musim ini layak untuk mendapatkannya.

"Kami tidak mampu melakukan lebih daripada ini.

"Kami tidak boleh memiliki sebarang penyesalan.

"Ia sudah hampir ke perlawanan terakhir dan kami mahu menamatkannya dengan cemerlang di Anfield sambil mengharapkan ada keajaiban yang akan berlaku," katanya.

Liverpool mungkin akan dibantu bekas pengurusnya, Brendan Rodgers, yang kini mengemudi pasukan di tangga kesembilan, Leicester.

Henderson berharap bekas pengendalinya itu akan membantu Liverpool dengan mendapatkan keputusan positif di Stadium Etihad.

"Saya pasti Leicester, yang merupakan pasukan hebat, akan memberikan segala-galanya dalam perlawanan itu.

"Setiap pasukan mahu mencipta kejutan, jadi harap-harap akan ada kejutan lagi selepas ini," tambahnya.