Jordan Henderson berkata Liverpool akan terus berjuang untuk meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris sehingga penghujung musim ini menjelang minggu penuh getir pasukannya dan Manchester City.

Liverpool menewaskan Cardiff City 2-0, Ahad lalu, untuk kembali ke puncak liga, namun skuad kendalian Pep Guardiola, City, akan memanfaatkan kelebihan satu perlawanan dalam tangan dengan menentang Manchester United, awal pagi Khamis ini.

Kemenangan 1-0 City ke atas Tottenham Hotspur di Stadium Etihad hujung minggu lalu merupakan yang ke-10 berturut-turut dalam saingan Liga Perdana dan juara bertahan itu sedar kejuaraan akan diraih mereka andai tidak melepaskan sebarang mata dalam baki perlawanan musim ini.

Bagaimanapun, Henderson berkeyakinan pasukannya akan terus percaya dengan peluang mereka untuk meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama musim ini.

"Ia keputusan yang besar buat kami dan kami mahu terus berjuang hingga ke penghujung musim dengan terus memenangi perlawanan," kata kapten Liverpool itu dalam laman web rasmi pasukan selepas menewaskan Cardiff.

"Ia merupakan ujian yang berbeza buat kami dan saya berasakan kami telah melaluinya dengan baik.

"Kami perlu terus percaya, mengekalkan keyakinan dan memenangi sebanyak perlawanan yang boleh.

"Kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

"Ia amat panas, jadi kami tahu ia akan menjadi sukar, namun secara jujurnya, ia peluang yang seimbang buat kedua-dua pasukan.

"Keadaan amat sukar, namun saya berasakan kami telah melaluinya dengan amat baik dengan meraih kemenangan selepas meraih kejayaan besar (di Porto dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah) pertengahan minggu lalu.

"Mereka berjuang untuk hidup mereka, jadi kami sedar ia akan menyukarkan kami.

"Kami perlu bersabar dan terus mencari peluang ketika perlu memastikan barisan pertahanan sentiasa teratur.

"Secara keseluruhannya, kami perlu gembira dengan persembahan seperti ini, terutama dengan meraih tiga mata," katanya.

Liverpool akan berdepan pasukan yang sudah tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan, Huddersfield Town, dalam aksi liga, awal pagi Sabtu ini, sebelum skuad kendalian Jurgen Klopp itu bertandang ke Barcelona bagi menghadapi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, minggu depan.