Didier Drogba berpandangan Eden Hazard akan sentiasa menjadi legenda Chelsea dan sukar untuk sesiapa menjadi penggantinya.

Hazard meninggalkan Chelsea awal bulan ini untuk berhijrah menyertai gergasi LaLiga, Real Madrid.

Pemain berusia 28 tahun itu meninggalkan Stamford Bridge selepas menjaringkan 21 gol dalam semua kejohanan musim lalu, dengan membantu Chelsea menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menjuarai Liga Europa.

Penghijrahan Hazard hadir ketika The Blues menghadapi kesukaran, digantung daripada membuat sebarang pembelian pemain yang mungkin berlanjutan sehingga dua jendela perpindahan.

Christian Pulisic telah dibeli daripada Borussia Dortmund pada Januari lalu sebelum dipinjamkan semula ke kelab Bundesliga itu dan dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hazard.

Menyifatkan Hazard sebagai pemain yang tidak boleh diganti, Drogba percaya Chelsea akan mencari jalan untuk menyesuaikan diri tanpa bintang itu, yang bersama kelab dari 2012.

"Tiada siapa boleh menggantikan Hazard, seorang pemain yang istimewa," kata Drogba.

"Tetapi seseorang akan hadir berdiri setaraf dengan Hazard. Dia adalah legenda Chelsea. Tetapi inilah bola sepak."

Chelsea kini tanpa pengendali selepas Maurizio Sarri menyertai Juventus.

Ikon The Blues, Frank Lampard, dilaporkan bakal mengambil alih tugas itu selepas cemerlang bersama Derby County, dan Drogba menyokong bekas rakan sepasukannya itu sebagai calon terbaik.

"Saya berasakan Lampard adalah calon terbaik menggantikan Sarri."