CHELSEA 1 WOLVES 1

Maurizio Sarri berasakan Chelsea tidak membuat hantaran dengan cukup pantas terhadap lawan yang "tidak mahu bermain" ketika Eden Hazard menyelamatkan maruah mereka untuk seri 1-1 dengan Wolves., awal pagi tadi.


Dalam aksi di Stamford Bridge itu, The Blues dibolosi menerusi percubaan pertama seteru mereka itu melalui sentuhan Raul Jimenez yang melengkapkan serangan balas pada minit ke-56.

Ia menuntut kelincahan Hazard pada masa kecederaan untuk akhirnya merobek gawang lawan yang liat sementara pengurus, Sarri, melahirkan rasa tidak puas dengan tempo permainan Chelsea.

"Kami tidak bernasib baik kerana melepaskan gol dalam ancaman pertama -- saya fikir ia yang pertama dan yang terakhir sepanjang 90 minit perlawanan -- jadi kami tidak bernasib baik untuk itu," katanya.

"Apapun, kami perlu memperbaiki gaya serangan. Pasukan lawan mungkin akan bertahan dalam jarak 20 ela dengan mengerah 11 pemain.

"Kami perlu menggerakkan bola dengan lebih pantas. Kami perlu membuat lebih banyak pergerakan tanpa bola dan mencari ruang.

"Kami menerapkan sistem permainan lima sentuhan. Jika tiada ruang, adalah sukar untuk menjaringkan gol dan sukar untuk mengamalkan sistem permainan ini sekiranya berhadapan dengan sebuah pasukan yang bertahan dengan 11 pemain yang memiliki kemampuan fizikal dalam jarak 20 ela."

Sarri memilih untuk beralih kepada formasi 4-2-3-1 untuk memecah kekebalan Wolves. Menjelaskan motivasi beliau untuk berbuat demikian, Sarri menambah: "Buat kali pertama, kami menentang sebuah pasukan yang tidak mahu bermain.

"Mereka tidak menyerang dalam tempoh 20 minit terakhir. Oleh itu, kami perlu cuba."

Chelsea baru-baru ini meraih momentum kemenangan untuk meningkatkan harapan mereka merebut kelompok empat teratas.

Begitupun, Sarri mengakui Chelsea terlepas peluang besar untuk mencerahkan laluan mereka apabila gagal mengambil kesempatan itu tetapi sedar peluang masih terbuka.

"Dengan baki 10 perlawanan, setiap aksi yang anda gagal menangi adalah peluang yang dilepaskan," katanya.

"Hari ini merupakan peluang yang hebat. Kami tidak dapat mengambil peluang itu untuk memungut tiga mata tetapi dalam enam perlawanan terakhir sebelum ini, kami menang empat kali dan seri dua kali.

"Oleh itu, terdapat sedikit konsistensi pada masa ini. Kami perlu memikirkan tentang perlawanan seterusnya, kami perlu lupakan kekecewaan keciciran dua mata ini dengan segera."

Rakan sejawatannya di Wolves, Nuno Espirito Santo, memuji etika kerja pasukannya, namun mengakui bisa yang dimiliki Hazard.

"Ya, kami beraksi dengan baik," katanya.

"Dalam separuh pertama, permainan kami sangat teratur dan tidak membenarkan ruang untuk Chelsea yang merupakan pasukan yang hebat. Mereka memiliki kawalan bola yang baik.

"Kami tetap padat. Dalam babak kedua, kami bermula dengan baik untuk menghasilkan jaringan sehinggalah detik kualiti individu seorang pemain Chelsea yang membolehkan mereka mencetak gol."