Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, berpandangan kehadiran Eden Hazard sebagai penyerang memberikan keseimbangan kepada sistem pertahanan pasukan.

Pemain kebangsaan Belgium itu kerap beraksi di bahagian tengah musim ini selepas Alvaro Morata dan Olivier Giroud bergelut mendapatkan rentak terbaik.

Turun selaku penyerang utama ketika merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United kelmarin, dia melakukan bantuan jaringan buat Willian untuk meledak gol kemenangan selepas Ciaran Clark menafikan gol pembukaan Pedro.

Ditanya jika Hazard menikmati beraksi selaku penyerang, Sarri berkata, "Tidak dalam separuh masa pertama. Saya dapat melihat dia lebih selesa dalam separuh masa kedua.

"Buat masa ini, ini adalah jalan terbaik kerana percaturan yang telah dilakukan memberikan keseimbangan kepada pasukan.

"Dalam enam perlawanan, kami bolos tiga kali dan satu daripadanya menerusi sepakan penalti. Saya berasakan kami telah mula bertahan dengan baik."

Sarri mengakui meletakkan Hazard selaku penyerang utama menyukarkan Chelsea untuk menembusi benteng akhir pasukan lawan, sesuatu yang diusahakan Sarri untuk dipertingkatkan dalam perlawanan akan datang.

"Kami sedang berusaha untuk meningkatkan lagi persembahan ketika menyerang, mencari jalan untuk masuk ke dalam kotak penalti lawan.

"Jentera serangan Chelsea bermain dengan lebih baik ketika berdepan Newcastle dengan pemain-pemain sayap cuba menggunakan ruang dengan sebaik mungkin.

"Kami menjaringkan gol selepas menyerang selama 10 minit menerusi Pedro. Kami mengulanginya dalam babak kedua dan Willian bertindak selaku penjaring."