Hazard: Saya hanya tinggalkan Chelsea untuk ke Real Madrid

Oleh Staff Writer 8 Jun 2019 3597
Hazard: Saya hanya tinggalkan Chelsea untuk ke Real Madrid
Eden Hazard berkata meninggalkan Chelsea adalah keputusan paling sukar dalam kariernya sambil menegaskan dia hanya mahu menyertai Real Madrid.

Madrid menandatangani Hazard menerusi kontrak lima tahun dengan yuran perpindahan yang mencecah EUR140 juta (RM648 juta) walaupun perjanjian masih bergantung kepada ujian perubatan bintang Belgium itu.

Hazard dikaitkan dengan Madrid sejak sekian lama tetapi mengesahkan keinginannya meninggalkan The Blues setelah menyumbat dua gol dalam aksi final Liga Europa menewaskan Arsenal bulan lalu.

Menerusi ucapan selamat tinggal di media sosial, Hazard menjelaskan ia keputusan yang sukar untuk meninggalkan Stamford Bridge setelah tujuh tahun di Chelsea.

"Kepada rakan-rakan Chelsea dan keluarga, anda tahu saya akan menyertai Real Madrid," katanya.

"Bukan lagi satu rahsia bahawa impian saya beraksi buat Chelsea sejak kecil sewaktu menyumbat jaringan pertama. Saya telah cuba yang terbaik untuk tidak terganggu dengan tempoh spekulasi ini, terutama perhatian media dalam tempoh enam bulan terakhir.

"Kini, kelab telah mencapai persetujuan. Diharapkan anda memahami saya cuba meneruskan cerita baru dalam karier, sama seperti apabila anda berpeluang untuk mencapai impian. Meninggalkan Chelsea adalah perkara terbesar dan paling sukar sepanjang karier saya.

"Secara terbuka, kini saya mahu menegaskan satu perkara, saya sentiasa mencintai detik di Chelsea dan bukan sekali saya mempertimbangkannya. Saya tidak akan meninggalkan Chelsea untuk ke kelab lain selain Madrid.

"Ketika hadir ke sini, saya berusia 21 tahun, jadi saya berkembang sebagai individu dewasa serta pemain buat anda semua. Anda membantu saya bergelar kapten skuad Belgium. Terdapat detik sukar buat seluruh pasukan serta secara peribadi buat saya tetapi inilah bola sepak profesional.

"Namun, bagi saya bola sepak adalah mengenai bola di kaki, beraksi serta menikmati setiap detik. Kami bertuah dapat bermain permainan indah dan ini nasihat saya buat sesiapa yang mahukan rahsia. Main bola sepak dan berseronoklah!

"Walaupun sewaktu kami tidak beraksi cemerlang, saya cuba yang terbaik, jadi saya ucapkan terima kasih atas sokongan anda. Semangat melawan, keinginan serta tidak pernah putus asa menjadi sebahagian daripada budaya di Chelsea dan ia hadir terus daripada anda."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen