Eden Hazard dan Gonzalo Higuain berkongsi bahasa bola sepak yang akan menjadikan gandingan mereka sebagai satu kejayaan buat Chelsea, kata Maurizzio Sarri.

Kedua-dua penyerang itu menjaringkan dua gol ketika membantu Chelsea membenam Huddersfield Town 5-0, Sabtu lalu, sebagai kebangkitan menakjubkan selepas mereka diaibkan Bournemouth 4-0 sebelum itu.

Chelsea akan bertandang ke laman Manchester City, awal pagi Isnin ini, selepas juara bertahan itu kembali ke kedudukan teratas Liga Perdana dengan menewaskan Everton, Rabu lalu.

Dengan Chelsea, yang kini perlu menangkis asakan daripada Manchester United dan Arsenal dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, Sarri berasakan gandingan Hazard dan Higuain akan menjadi kunci kejayaan kepada pasukannya.

"Seperti yang anda semua saksikan dalam perlawanan terdahulu, Eden kerap melakukan hantaran kepada Gonzalo.

"Mereka bertutur bahasa yang sama menerusi bola itu.

"Saya berasakan Gonzalo adalah aset penting kami.

"Dia memerlukan keyakinan terlebih dahulu.

"Dia memerlukan hubungan yang baik dengan jurulatih dan rakan sepasukan.

"Adakalanya dia memerlukan pesanan daripada jurulatih menerusi sidang media, kita akan melihatnya pada masa akan datang," katanya.

Higuain dipinjamkan kepada AC Milan sepanjang separuh pertama musim ini, namun pemain kebangsaan Argentina itu meledak 36 jaringan dalam Serie A sewaktu bersama Sarri di Napoli pada musim sebelumnya.

Pemain berusia 31 tahun itu akan menghabiskan baki musim ini secara pinjaman di Stamford Bridge bagi menggantikan Alvaro Morata yang berpindah ke Atletico Madrid.

Bagaimanapun, Sarri berasakan masih banyak yang perlu dibuktikan Higuain.

"Buat masa ini, dia amat bersemangat.

"Sewaktu musim pertama saya bersama Napoli, dia tiba lewat ke kem latihan.

"Dia gagal menjaringkan sepakan penalti dalam perlawanan terakhir Serie A dan final Copa America, namun dia bangkit dangan cara yang betul.

"Dia beraksi dalam musim yang luar biasa, dia mampu bertindak balas dengan baik walaupun sedang menghadapi masalah.

"Setakat ini, dia menunjukkan minat yang tinggi.

"Dia mampu untuk beraksi baik sepanjang baki musim ini," tambahnya.

Ditanya mengapa dia mempunyai hubungan yang lebih baik dengan Higuain berbanding Morata, Sarri menambah: "Kami memiliki mentaliti yang sama.

"Gonzalo lebih sesuai dengan falsafah bola sepak saya, jadi perasaan itu amat hebat.

"Ia adalah perasaan dalam bola sepak," katanya.