Maurizio Sarri mahu mengekalkan Eden Hazard dan tidak sabar untuk bekerjasama dengannya di Chelsea walaupun bintang Belgium itu dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Stamford Bridge.

Hazard menjadi sasaran media ekoran dakwaan Real Madrid berminat dengan khidmatnya dan ingin membawanya ke LaLiga menjelang saingan musim 2018/19 selaku pengganti kepada Cristiano Ronaldo, namun Sarri menegaskan pemain berusia 27 tahun itu berada dalam perancangannya.

Dia turut membandingkan Hazard dengan peledak Napoli, Dries Mertens, yang menjadi mesin gol Partenopei di bawah kendaliannya dalam tiga musim terakhir.

"Hazard adalah pemain berkualiti tinggi dan saya rasa dia dalam kelompok tiga pemain terbaik Eropah," kata Sarri.

"Saya harap dapat membimbing dan meningkatkannya. Ia sangat sukar memandangkan dia telah mencapai tahap yang tinggi.

"Ia juga berbeza dengan Mertens. Mertens sentiasa menjadi penyerang yang baik. Semua orang berfikir bahawa dia sudah mencapai tahap tertinggi.

"Namun, kita sedang bercakap tentang dua orang pemain yang hebat. Mertens bermula dari bawah. Saya harap dapat meningkatkan Hazard tetapi ia sukar."

Pengendali berusia 59 tahun itu dilantik untuk menggantikan Antonio Conte, Sabtu lalu, dan memulakan sesi latihan bersama skuad Chelsea di pusat latihan Cobham pada minggu ini tanpa beberapa pemain yang sedang berehat selepas aksi Piala Dunia.

"Saya mahu mengekalkan mereka di dalam skuad," katanya ketia ditanya mengenai kemungkinan penghijrahan keluar beberapa pemain elit dalam pasukan.

"Berhubung melalui telefon dan tidak menemui mereka tidak memberikan saya kepastian. Saya mahu menemui mereka secara berdepan dan bercakap dengan barisan pemain ini, memahami apa yang terbaik untuk semua orang.

"Sebelum itu, saya lebih suka jika seseorang pemain itu berada dalam sesi latihan selama empat atau lima hari," tambahnya.