MAN CITY 6 HUDDERSFIELD TOWN 1

Sergio Aguero melakar hatriknya yang ke-13 bersama Manchester City apabila juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membuktikan mereka tidak merindui sentuhan Kevin De Bruyne dalam kemenangan 6-1 ke atas Huddersfield Town, sebentar tadi.


Aguero mencetak gol pertama, ketiga dan kelima City manakala Gabriel Jesus dan David Silva yang tampil dalam aksi ke-250 EPL, turut mengatasi penjaga gawang Huddersfield, Ben Hamer.

Jaringan sendiri Terence Kongolo melengkapkan kemenangan meyakinkan City selepas ketangkasan Jon Stankovic menafikan pelawat daripada berpesta lebih awal pada separuh masa pertama.

Ia merupakan peringatan buat City dan Aguero bahawa mereka mampu mengharungi aksi tanpa nadi utama dari Belgium, De Bruyne, yang mengalami kecederaan lutut pada awal minggu ini sehingga perlu disisihkan selama tiga bulan.

Kali terakhir City menewaskan Huddersfield dalam aksi liga di laman sendiri ialah pada 1987 dan selepas 35 minit, juara bertahan itu mendahului selesa 3-0.

Gol pembukaan menjelma pada minit ke-25 menerusi sepakan Ederson dari jarak 70 ela untuk Aguero berdepan aksi satu lawan satu sebelum penjaring terbanyak City itu mempamerkan ketenangannya untuk memperdayakan Hamer.

Jesus mengukuhkan kedudukan enam minit kemudian hasil kerja keras Benjamin Mendy dan pemain Perancis itu terus memberikan sumbangan apabila membekalkan bantuan untuk gol ketiga yang disumbat Aguero.

Satu-satunya perspektif negatif mengenai skuad bimbingan Pep Guardiola itu ialah apabila Huddersfield berhasil merapatkan jurang sebelum rehat yang menyaksikan Stankovic menyudahkan hantaran ke dalam yang jauh oleh Steve Mounie.

Namun, City kembali mendapatkan bekalan tiga gol sejurus tiga minit permainan bersambung apabila Silva melepaskan tendangan bebas cantik ke sudut kanan atas tatkala Hamer kaku tanpa dapat berbuat apa-apa.

Aguero bagaikan ditakdirkan untuk meraih hatrik -- percubaannya terkena tiang serta terlepas peluang terbuka di depan gol - -apabila menyudahkan umpanan Mendy ketika permainan berbaki 15 minit.

Penyerang itu kemudian digantikan dengan Leroy Sane yang terlibat dalam pembikinan gol terakhir City apabila percubaannya diselamatkan oleh Hamer, namun terkena rakan sepasukan, Kongolo.

Keputusan lain:

BURNLEY 1 WATFORD 3