Jose Mourinho menyifatkan ketiadaan Marcus Rashford dan Anthony Martial adalah disebabkan kekuatan kesebelasan utama yang dimiliki Manchester United.

Rashford hanya tampil 14 kali dalam kesebelasan utama musim ini dan hanya sekali untuk tahun 2018 selepas kehadiran Alexis Sanchez dari Arsenal pada Januari lalu.

Martial pula, yang mengharapkan dirinya terpilih menyarung jersi Perancis bagi aksi Piala Dunia 2018, hanya menjadi pilihan Mourinho sebanyak 16 kali dalam kesebelasan utama dan kali terakhir melakukannya sebelum Februari lalu.

Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu menyifatkan prestasi Romelu Lukaku telah menyebabkan Rashford dan Martial menghadapi kekangan untuk menarik perhatiannya, terutama selepas penggempur Belgium itu menjaringkan 26 gol dalam semua kejohanan bagi musim 2017/18.

“Jika saya berada di tempat anda, saya akan bertanya soalan lain,” kata Mourinho kepada wartawan ketika sidang media menjelang aksi liga menentang West Bromwich Albion.

“Rashford telah tampil lebih banyak sejak saya tiba di sini dan saya yang menurunkannya.

“Jika saya menjadi diri anda, saya akan memikirkan mengapa Lukaku dan Nemanja Matic kerap beraksi tetapi anda hanya bercakap tentang pemain yang tidak diturunkan.

"Jika anda benar-benar mahukan jawapan, ia sangat mudah, hanya 11 pemain boleh berada di atas padang dan kami memiliki 22 pemain.

“Ia adalah bola sepak. Kami tidak akan dapat meraih 11 orang pemain yang akan bebas tanpa kecederaan, tidak digantung dan sebagainya. Jika ada, pastinya hebat dan akan memberi kebaikan daripada segi ekonomi buat kelab.”