West Ham United telah melengkapkan rekod perpindahan kelab apabila membawa masuk Sebastien Haller daripada Eintracht Frankfurt menerusi yuran bernilai GBP45 juta (RM230 juta).

Kelab Liga Perdana Inggeris itu mencapai perjanjian dengan Eintracht semalam sebelum Haller dibenarkan untuk terbang ke London bagi proses ujian perubatan.

Pemain berusia 25 tahun itu kini telah menandatangani kontrak lima tahun bersama The Hammers serta pilihan tambahan 12 bulan.

Penyerang itu muncul pemain termahal dalam sejarah kelab selepas GBP36 juta (RM184 juta) dibayar kepada Lazio musim lalu untuk mendapatkan khidmat Felipe Anderson.

"Saya rasa sangat hebat," kata Haller kepada laman web West Ham.

"Saya rasa ia satu peluang terbaik untuk berada di sini.

"Rekod perpindahan itu memberi banyak makna. Ia membuktikan kelab ini benar-benar mahukan saya sejak sekian lama. Saya dapat rasakan keinginan untuk mendapatkan saya dan saya begitu gembira. Ia cita-cita kelab yang hebat serta bandar dan peminat yang menakjubkan."

Haller menyumbat 20 gol dalam semua kejohanan musim lalu, termasuk lima jaringan yang dihasilkan dalam laluan Eintracht ke separuh akhir Liga Europa.

Dia akan menggalas tugas penggempur utama menggantikan tempat Marko Arnautovic yang menyertai kancah Liga Super China bersama Shanghai SIPG.

Skuad kendalian Manuel Pellegrini itu dikaitkan dengan perpindahan Maxi Gomez sebelum mengalihkan perhatian terhadap Haller memandangkan penyerang Celta Vigo itu memilih Valencia.

"Saya akan berikan 100 peatus dan menghormati kelab," tambah Haller.

"Saya rasa ia perkara normal dan saya boleh beri jaminan. Saya tahu ia perpindahan besar dan banyak harapan diletakkan kepada saya. Saya hanya mahu orang ramai berbangga dengan perpindahan ini dan saya akan berikan segala-galanya."