Gundogan beri isyarat mahu cabaran di luar Manchester City

Oleh Staff Writer 12 Mac 2019 1634
Gundogan beri isyarat mahu cabaran di luar Manchester City
Ilkay Gundogan memikirkan cabaran baru di luar Manchester City meskipun dia menegaskan gembira bermain untuk kelab itu.

Kontrak tonggak Jerman itu akan tamat pada akhir musim ini, namun dia belum lagi bersetuju dengan lanjutan kontrak. 

Pengurus, Pep Guardiola, pada hujung minggu lalu, menyatakan bahawa dia menginginkan Gundogan untuk kekal tetapi hanya jika pemain itu sendiri berasa cukup komited terhadap pasukan.

Guardiola berkata perbincangan itu masih diteruskan tetapi dia enggan memberikan sebarang jaminan mengenai masa depan anak buahnya itu. 

"Belum ada keputusan lagi, jika tidak saya telah menandatanganinya. Saya mengatakan bahawa kami masih dalam perbincangan tetapi saya tidak berasakan tekanan," katanya dalam sidang akhbar sebelum aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) dengan Schalke, awal pagi esok. 

"Ini adalah sesuatu yang semua orang perlu putuskan untuk diri sendiri. Saya kini berumur 28 tahun -- kontrak seterusnya mungkin akan menentukan di mana saya akan mengakhiri karier," kata Gundogan pula.

"Setiap orang mempunyai pandangan berbeza. Mungkin sesetengah orang berasa seperti perlukan cabaran baru atau ingin mengubah sesuatu. Saya selalu bersikap terbuka untuk menghadapi cabaran, ia adalah bersifat peribadi dan setiap orang perlu membuat keputusan sendiri.

"Ketika ini, saya cuba beraksi dengan sebaik mungkin dan kami akan duduk dan berbincang lagi selepas musim ini berakhir. Sasaran utama saya ketika ini adalah pergi untuk berjaya dalam semua kejohanan.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, selepas tiba ke sini dengan kecederaan serius tetapi saya telah membuktikan bahawa saya boleh bermain di England selama lebih daripada dua atau tiga tahun. Itu tidak sepatutnya menjadi masalah sama sekali."

Gundogan dijangka terlibat bersama City untuk pertemuan awal pagi esok dan mengintai peringkat suku akhir UCL dengan mengorbankan Schalke.

Pasukan kendalian Guardiola itu dalam laluan untuk menjulang empat trofi semusim dan dijangka mengatasi pasukan yang menduduki tangga ke-14 dalam Bundesliga itu, lebih-lebih selepas mereka memenangi pertemuan pertama di Jerman 3-2.

Gundogan berasakan persembahan City semakin mantap tetapi tetap tidak memandang mudah ancaman Schalke.

"Daripada segi angka, saya fikir kami telah membuktikan bahawa kami adalah lebih baik berbanding musim lalu, namun kami belum memenangi kejuaraan ini," katanya.

"Perjuangan kami musim ini tinggal dua setengah bulan sahaja lagi -- kita akan tiba pada hujung musim tidak lama lagi. Justeru, minggu-minggu yang mendatang sangat penting.

"Saya fikir kami akan melihat situasi dalam babak pertama terlebih dahulu kerana Schalke tidak akan rugi apa-apa, mereka boleh menjadi sangat berbahaya. Ia terpeluang kepada mereka sama ada akan turun memberikan saingan dan ia satu amaran untuk perlawanan esok.

"Kami akan cuba menerapkan corak permainan sendiri seperti yang kami lakukan dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Kami tidak boleh tidak memberikan sebarang peluang kepada Schalke memandangkan mereka adalah sebahagian daripada kejohanan ini. 

"Semoga kami akan menampilkan aksi terbaik dan menampilkan gaya City, kemudian barulah saya percaya kami mampu memenangi permainan," tambahnya.












 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen