Pemain Manchester City, Ilkay Gundogan, seharusnya menarik nafas lega selepas dijangka akan kembali menjalani latihan bersama pasukan dalam masa beberapa hari lagi.

Gundogan mengalami kecederaan terkehel lutut kiri kiri ketika membantu City menewaskan West Bromwich Albion 2-1 dalam aksi Piala Liga, Rabu lalu, sekaligus mencetuskan cemas dalam kem The Citizens selepas dia mengalami kecederaan panjang lutut kanan pada musim lalu.

Pemain tengah Jerman itu menampilkan aksi memukau ketika menentang West Brom, namun terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-54 selepas diterjah oleh Claudio Yacob.

Selepas perlawanan tersebut, pengendali, Pep Guardiola, menjelaskan kecederaan itu tidak serius dan laman web rasmi pasukan memberikan kenyataan, semalam.

“Pemain tengah Jerman itu menjalani ujian pada pagi Khamis dan pihak perubatan pasukan mendapati tiada sebarang kecederaan serius,” kata wakil City.

“Kecederaan kali ini berbeza dengan apa yang dilalui oleh Gundogan sebelum ini, namun masih terlalu awal untuk mengumumkan tempoh dia perlu berehat. Apa yang penting, dia dijangka akan kembali menyertai sesi latihan dalam masa beberapa hari lagi.”

Gundogan sebelum ini terlepas peluang untuk mewakili Jerman dalam Kejohanan Eropah 2016 akibat kecederaan tempurung lutut dan sebelum itu gagal menyertai skuad terakhir Jerman ke Piala Dunia 2014 selepas mengalami kecederaan belakang.