WEST HAM 1 ARSENAL 0

Pengendali Arsenal, Unai Emery, mengakui bimbang dengan prestasi Arsenal di tempat lawan selepas mereka tewas 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada West Ham, semalam.


Jaringan tunggal Declan Rice pada minit ke-48 menyaksikan The Gunners tewas buat kali kelima di tempat lawan.

Arsenal yang berkunjung ke Stadium London gagal menguji Lukasz Fabianski dan Emery menyedari pasukannya perlu mencari jalan untuk mengatasi kemelut itu.

"Ia amat mengecewakan dan membimbangkan," kata Emery. "Kami perlu mempamerkan aksi kompetitif di laman sendiri serta di tempat lawan.

"Kami perlu mempamerkan persembahan yang lebih baik selepas ini.

"Arsenal kerap hilang kawalan bola. Jaringan lawan mengubah rentak permainan dan West Ham mempertahankan kelebihan tersebut."

Kapten pasukan, Laurent Koscielny, memberitahu Sky Sports: "Saya berasakan kami perlu lebih tenang untuk melakukan hantaran terakhir sebelum melepaskan percubaan.

"Kami telah berusaha hingga hujung permainan tetapi mereka meraih gol awal dalam separuh masa kedua. Kami memiliki peluang tetapi gagal menghasilkan jaringan. Sukar untuk menang jika anda gagal menjaringkan gol."

Di sebalik keputusan yang mengecewakan, Emery tidak terdesak untuk mencari pemain baru dalam jendela perpindahan dalam bulan ini.

"Kami memiliki pemain yang berkualiti. Kami perlu terus berusaha dan yakin dengan persembahan kami.

"Saya gembira dengan pemain-pemain sedia ada. Ia adalah keputusan yang mengecewakan tetapi kami akan terus berusaha," ujarnya.