WOLVES 0 MANCHESTER CITY 0
(Wolves juara menerusi penentuan penalti 3-2)

Pep Guardiola tidak terjejas dengan kekalahan Manchester City kepada Wolves dalam final Trofi Liga Perdana Asia di Stadium Hangkou, Shanghai, yang berlarutan hingga ke penentuan sepakan penalti malam tadi.


Selepas terikat tanpa jaringan, Rui Patricio menyelamatkan sepakan Ilkay Gundogan, David Silva dan Lukas Nmecha untuk memastikan kemenangan 3-2 pasukannya dalam penentuan itu.

City memenangi kejuaraan 'treble' dalam saingan domestik musim lalu, namun gagal menambah trofi menjelang pembukaan musim baru ini.

Ditanya sama ada kekalahan itu menggusarkannya, Guardiola berkata: "Saya tidak fikir begitu. Adakalanya, adalah baik untuk tewas kepada pasukan Liga Perdana dalam tempoh ini (pra-musim), namun sejujurnya saya tidak berasa begitu.

"Jika kami tewas pada masa akan datang, ia bukan berpunca kerana kami tewas penentuan penalti dalam kejohanan ini.

"Itulah yang saya rasakan, namun segala-galanya boleh terjadi dalam sukan," katanya.

Kevin de Bruyne menyinar sepanjang 45 minit pertama perlawanan dan Guardiola memuji aksi pasukannya di Shanghai walaupun gagal menghasilkan gol.

"Mereka beraksi dengan amat baik dalam separuh masa pertama.

"Wolves bertahan dengan amat baik dengan melakukan hadangan rendah.

"Tidak mudah untuk mencipta peluang dan kami menciptakannya dan tidak dibolosi melalui serangan balas dalam separuh masa pertama dan 15 minit pertama babak kedua.

"Semua orang, bukan hanya pemain muda, telah mempamerkan aksi yang baik.

"Kami dapat mempelajari sesuatu daripada itu.

"Kami menyedari betapa sukarnya keadaan itu dan berpuas hati dengan cara kami beraksi," tambahnya.

Siri kecederaan yang dialami mengakibatkan De Bruyne hanya dapat diturunkan 11 kali dalam kesebelasan utama saingan liga musim lalu.

Guardiola berharap perancang Belgium itu akan kekal cergas sepanjang musim 2019-20.

"Dia pemain terbaik. Malangnya, dia terlepas banyak perlawanan musim lalu.

"Kami menghadapinya dengan baik tanpanya, namun kami akan bertambah kuat dengan kehadirannya.

"Musim lalu, tiada cuti baginya, namun musim ini, dia mempunyai masa untuk berehat.

"Harap-harap dia akan kembali ke tahapnya semula.

"Dia mempunyai minda yang amat positif.

"Dia beraksi baik dalam babak pertama. Amat-amat baik.

"Dia pemain yang suka bermain bola sepak dan bersaing.

"Dia tidak pernah hilang keyakinan diri," tambahnya lagi.