NORWICH CITY 3 MANCHESTER CITY 2

Pep Guardiola menegaskan dia tidak perlu memperkuatkan barisan pertahanannya biarpun Manchester City dikejutkan dengan kekalahan 2-3 di tangan Norwich City.


Aymeric Laporte dijangka akan diketepikan hingga awal tahun depan selepas menjalani pembedahan lutut, dengan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu tewas tanpa kehadirannya di Carrow Road awal pagi tadi.

Gol daripada Kenny McLean, Todd Cantwell dan Teemu Pukki memastikan kemenangan The Canaries, yang mengalami masalah kecederaan kritikal, sambil Sergio Aguero dan Rodri menemui sasaran buat City.

Sebelum perlawanan, Guardiola menegaskan City tidak akan menggantikan Laporte dalam jendela perpindahan yang akan datang walaupun pasukannya hanya memiliki dua pertahanan senior yang masih cergas, John Stones dan Nicolas Otamendi, selepas Vincent Kompany meninggalkan pasukan itu.

Stones dan Otamendi, kedua-duanya harus dipersalahkan ekoran prestasi rapuh barisan pertahanan City yang mengakibatkan mereka tewas buat kali pertama sejak Januari lalu -- jaringan pembukaan McLean bermula daripada sepakan penjuru.

Ditanya sama ada City berdepan masalah ketika sepakan penjuru ke 'near post', Guardiola berkata: "Dalam empat musim ini, benar. Kualiti pemain kami berbeza tetapi kami bertahan dengan baik sebelum ini."

Guardiola, yang meletakkan pemain tonggak, Kevin de Bruyne, di bangku simpanan, berasakan Stones dan Otamendi masih lagi gandingan yang boleh diharapkan biarpun kerap melakukan kesilapan sementara Kyle Walker pula membenarkan jaringan kedua Norwich menerusi gol mudah Cantwell.

"Ia bola sepak," tambahnya.

"Kita bercakap dan memperbaikinya daripada situasi ini, Kyle menyedarinya dan perkara seperti ini adakalanya berlaku, cuba untuk beraksi lebih baik pada masa akan datang.

"Mereka (Stones dan Otamendi) sudah berapa kali beraksi bersama? Banyak kali, mereka adalah pertahanan tengah kami.

"Mungkin Fernandinho atau Rodri boleh beraksi di sana.

"Saya tidak risau, ia bola sepak.

"Sudah berapa perlawanan John dan Nico beraksi bersama lebih daripada tiga perlawanan? Banyak kali.

"Kebiasaannya, saya akan mengira peluang mereka dan saya fikir mereka tidak memiliki banyak peluang.

"Tiga gol, saya tidak tahu ia datang daripada berapa banyak percubaan tepat tetapi saya tidak rasa mereka memperoleh banyak peluang.

"Namun, adakalanya perkara seperti ini berlaku," katanya lagi.

Krisis kecederaan melanda Norwich yang kehilangan 11 pemain dan Daniel Farke langsung tidak dapat melengkapkan tujuh pemain di bangku pemain simpanannya tanpa menyenaraikan dua penjaga gol.

"Sudah pasti ia hari yang istimewa buat kami dan kelab ini," katanya kepada BBC Sport.

"Untuk berdepan salah satu pasukan terbaik di dunia dan kami berdepan masalah kecederaan.

"Kami perlu menjadikan perancangan kami istimewa untuk berdepan City kerana mereka adalah pasukan terbaik di dunia, namun kami juga tempang dengan masalah kecederaan.

"Kami layak menang, kami pasukan istimewa," katanya.