Pep Guardiola mengesahkan dia tidak akan meninggalkan Manchester City untuk ke Juventus apabila berkata: "Saya berbaju biru, salah seorang daripada anda semua."

Guardiola dikaitkan dengan juara Serie A itu susulan pemergian Massimiliano Allegri.

Juve menafikan telah cuba menghubungi Guardiola -- yang mengemudi City menggondol kesemua kejuaraan domestik musim 2018-19 -- tetapi laporan di Itali semakin tersebar bahawa bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu merupakan sasaran.

Bagaimanapun, Guardioa menamatkan spekulasi itu apabila berkata dia melihat masa depannya dalam Liga Perdana Inggeris disebabkan sokongan yang diterima daripada peminat City.

"Tiada tempat lebih baik di dunia selain England. Begitu juga jika anda pengurus di sini," katanya.

"Saya boleh bandingkannya dengan Sepanyol dan Jerman. Saya tidak pernah berada di negara lain, namun ia sedikit sama. Jika saya ke Itali, ia mungkin memiliki persamaan dengan Sepanyol.

"Tiada tempat lebih baik. Di tempat lain, peminat mencemuh anda jika tewas atau bermain buruk, namun di sini mereka sentiasa menyokong anda.

"Saya berbaju biru dan merupakan salah seorang daripada anda semua."

Guardiola gagal menjulang sebarang trofi dalam musim pertama di Manchester dan bekas pemain Sepanyol yang mempunyai kontrak dua tahun lagi bersama City itu mengesahkan kepercayaan terhadapnya membuatkan dia mahu kekal.

"Saya masih ingat, musim pertama sangat sukar. Selepas Monaco, kami tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah dan saingan Liga Perdana Inggeris juga tidak bagus. Kami meraih persefahaman hasil sokongan daripada orang ramai," tambahnya.

"Hormat ketika pertengahan minggu, tiada media, bekerja dengan tenang. Ia sempurna. Ia tempat bagus untuk bekerja. Saya tidak tahu mengenai kelab lain tetapi di sini, ia hebat. Saya tidak lupakan kami gagal meraih kejuaraan dalam musim pertama tetapi masih mendapat sokongan.

"Kini, lebih mudah apabila ia hampir dengan saya. Orang ramai memberitahu anda bagus dan saya tahu bagaimana tugas saya. Ketika itu, apabila segalanya tidak berjalan lancar dalam tahun pertama, semua orang perlukan masa dan mereka menyokong saya.

"Saya tidak akan lupakan pesanan daripada pengerusi kelab, Khaldoon Al Mubarak -- selepas detik sukar dan kekalahan. Begitu juga dengan pengarah sukan, Txiki Begiristain, staf bilik persalinan serta segala keakraban kami.

"Untuk duduk dengan tenang dan berbincang apa yang perlu ditingkatkan, ia membuatkan saya gembira untuk membalas dengan keyakinan yang mereka letakkan kepada saya bersama pemain untuk dua musim seterusnya."

"Masih banyak perkara belum selesai!"