Pep Guardiola berasakan tidak masuk akal menyokong Manchester United di Anfield minggu ini ketika Liverpool memiliki kelebihan yang besar ke atas Manchester City.

The Reds kendalian Jurgen Klopp bakal menerima kunjungan United -- satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri mata ke atas mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini -- sejurus selepas tengah malam esok dalam satu pertembungan yang bakal disaksikan seluruh dunia.

Ketika ini, The Reds mendahului 11 mata dan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, dan jika mereka tewas manakala City mengatasi Crystal Palace di laman sendiri malam ini, Guardiola berasakan mereka tidak perlu terlalu fokus dengan keputusan yang diraih Liverpool.

Ditanya sama ada dia akan menyokong United dalam perlawanan tersebut, Guardiola membalas: "Jauh ketinggalan daripada Liverpool, saya berasa kurang berminat dengan apa-apa keputusan yang diraih mereka.

"Lebih baik kami fokus kepada persembahan sendiri dan meneruskan saingan dalam setiap kejohanan, dalam EPL dan membuat persiapan bagi perlawanan seterusnya."

Walaupun gagal merapatkan jurang dengan Liverpool, City menghadapi minggu-minggu terbaik apabila merakamkan sembilan kemenangan daripada 10 perlawanan dalam semua kejohanan.

Guardiola, yang masih memiliki kontrak di Stadium Etihad sehingga 2021, telah menyatakan hasrat untuk kekal sehingga musim depan dan bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu menegaskan memecatnya adalah satu-satunya jalan untuk menyaksikan dia meninggalkan pasukan.

"Jika mereka tidak pecat saya, saya akan terus bersama pasukan setahun lagi.

"Saya tidak perlu membuat pengumuman, saya masih lagi memiliki kontrak. Saya akan kekal, 100 peratus.

"Jika mereka berkata, 'Kami mahu bertukar pengurus.' Tetapi saya tetap akan kekal bersama pasukan musim depan.

"Setiap pengurus memiliki saat indah dan sebaliknya, tidak semua pengurus menang pada setiap masa. Ketika saat sukar, boleh kami katakan gagal beraksi cemerlang dan apa yang dilakukan adalah cuba dengan lebih baik, ia semudah itu."



Editor: Ammar Hakim