Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengakui dia mungkin terpaksa mengambil risiko dengan kecergasan Vincent Kompany selepas John Stones mengalami kecederaan ketika menentang Leicester City.

Kapten City, Kompany, kembali beraksi di Stadium King Power, kelmarin, dan ia adalah penampilan kompetitif pertamanya sejak mengalami masalah betis ketika tugasan antarabangsa bersama Belgium pada Ogos lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu melengkapkan permainan 90 minit dalam kemenangan 2-0 pendahulu Liga Perdana Inggeris itu ke atas Leicester, yang menyaksikan Stones mengalami kecederaan hamstring.

Pemain tengah England itu dijangka diketepikan selama empat hingga enam minggu dan Guardiola menyatakan hasratnya untuk menambah kekuatan pasukan dalam jendela perpindahan Januari depan kerana dia mahu mengambil sikap berhati-hati terhadap Kompany.

"Kami perlu menjaganya (Kompany) dan kami cuba melakukannya. Dia direhatkan lebih daripada dua setengah bulan kerana dia bermain menentang Gibraltar ketika keputusan 9-0," kata Guardiola kepada wartawan.

"Kami perlu berhati-hati daripada segi berapa minit, bagaimana dia rasa. Kami kehilangannya (ketika dia cedera).

"Ia adalah berisiko untuk menurunkannya lebih kerap, tetapi sekarang Stones keluar, kami mempunyai masalah sebenar dalam posisi itu.

"Kami akan bincangkan (keadaan ini) pada Januari, kami akan memikirkannya, tetapi bukan hanya kerana Stones (cedera).

"Untuk bermain dalam semua pertandingan, anda memerlukan skuad yang lebih besar kerana pemain tidak mempunyai masa untuk pulih sebelum pertandingan berikutnya," ujarnya.