Pep Guardiola mengesahkan beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Manchester City pada akhir musim ini mengenai masa depannya dengan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Guardiola membantu City menjulang gelaran juara liga dengan baki lima perlawanan pada musim kedua kendaliannya, termasuk kejayaan Piala Liga Inggeris (EFL) menerusi kemenangan 3-0 ke atas Arsenal pada Februari lalu.

Guardiola, 47, akan memasuki tahun ketiga dan terakhir kontraknya di Stadium Etihad setelah menghabiskan masa selama empat dan tiga tahun di Barcelona dan Bayern Munich.

Langkah untuk melanjutkan kontraknya amat difahami selepas City unggul dalam saingan domestik musim ini menjelang aksi menentang Swansea City, malam esok.

"Kami akan mengadakan rundingan dengan kelab pada penghujung musim ini," katanya. "Saya mempunyai baki kontrak setahun lagi -- saya belum selesai lagi.

"Kita perlu melihat apa yang mereka fikirkan tentang masa depan. Ia juga bergantung kepada tenaga dan kekuatan saya untuk terus berkhidmat.

"Ketika ini, saya berasa baik, saya berasa selesa berada di sini. Saya akan bercakap dengan Ferran Soriano, Txiki Begiristain dan Khaldoon al Mubarak.

"Kami akan memutuskan apa yang terbaik untuk kelab. Pada masa ini, saya baik-baik saja," ujarnya.

Mengenai prospek kekal bersama City dalam tempoh lebih lama berbanding mana-mana kelab yang pernah ditanganinya, Guardiola menegaskan betapa bola sepak cepat berubah sekiranya kejayaan tidak dapat dikekalkan.

"Saya tidak tahu, bola sepak banyak berubah," katanya. "Kini kami juara dan semua orang gembira tetapi dengan serta-merta anda boleh kehilangan perasaan itu.

"Pasukan ini terdiri daripada kumpulan yang mengagumkan. Pemain dan kakitangannya hebat, namun semua itu boleh hilang, anda boleh tercicirnya.

"Saya tidak tahu bagaimana saya akan bertindak balas selepas memenangi EPL.

"Dalam lima perlawanan akan datang, kami akan melihat bagaimana kami mencapai kejayaan. Ini merupakan ujian yang baik untuk kami semua melihat apa yang akan berlaku musim depan," tambahnya.

City mampu merakamkan pungutan mata tertinggi dan gol terbanyak -- 95 gol dalam 103 dalam penampilan dengan baki lima perlawanan adalah bertemu kelab bawahan -- sesuatu yang diharapkan Guardiola boleh bertindak sebagai motivasi.

"Pada masa lalu, apabila saya memenangi liga dengan Barcelona dan Bayern Munich -- lima hingga tujuh perlawanan lebih awal -- baki aksi berikutnya tidak baik," katanya lagi.

"Kami cuba untuk meneruskannya tetapi kami tidak dapat. Jadi, motivasi seberapa banyak mata yang boleh dipungut adalah hujah yang baik untuk terus berjuang.

"Yang penting ialah memenangi gelaran, rekod adalah bagus tetapi ia bukanlah perkara paling penting.

"Tetapi jika itu dapat membantu kami menjadi lebih fokus terhadap empat atau lima pasukan yang menentang penyingkiran ... ia akan menjadi baik untuk menamatkan kempen dengan perasaan baik sebagaimana sepanjang musim ini."