Pep Guardiola menepis dakwaan yang mengaitkannya dengan Juventus sambil menegaskan dia mungkin kekal di Manchester City dengan melangkaui kontraknya ketika ini.

Wartawan Il Giornale, Luigi Guelpa, memberitahu Radio CRC bahawa Guardiola secara lisan telah bersetuju dengan tawaran kontrak empat tahun itu untuk menggantikan Massimiliano Allegri di Stadium Allianz musim depan.

Allegri tidak senada dengan pemilik Juventus minggu ini susulan kekalahan 0-2 mereka kepada Atletico Madrid dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Bagaimanapun, pemenang Scudetto sebanyak lima kali itu memberitahu pemberita selepas meraikan kejayaan 4-1 ke atas Udinese dalam aksi Serie A semalam, Juve terlalu taksub dengan kejuaraan UCL sehingga memandang sebelah mata pencapaian yang pernah diraihnya.

Situasi itu telah membangkitkan khabar angin terhadap masa depannya, dengan Zinedine Zidane dan Antonio Conte juga dikhabarkan dalam pertimbangan Juventus.

Namun, Guardiola dengan tegas mengelak daripada terjerumus dalam khabar angin itu ketika menjelaskan dalam sidang media selepas skuad kendaliannya menewaskan Watford 3- 1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

"Apa yang saya mahu katakan, saya tahu media sosial hari ini memainkan peranan penting," kata Guardiola sebelum mempersoalkan kebenaran laporan tersebut.

"Tetapi saya tidak faham mengapa media akan memaparkannya di halaman terbesar: 'Pep akan tiba ke Juventus selama empat tahun akan datang'.

"Saya tidak faham, saya tidak faham mengapa orang mengatakan saya akan pergi ke Juventus, sebaliknya tidak memanggil kelab atau saya mahupun menghubungi ejen saya, Juventus ataupun Massimiliano Allegri."

Guardiola memperbaharui kontraknya di Stadium Etihad sehingga 2021 pada Mei lalu selepas memimpin City meraih kejuaraan EPL dan Piala Liga Inggeris (EFL) musim lalu.

Dia mengulangi komitmennya seminggu selepas urusan kewangan kelab itu disiasat Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan EPL.

"Saya minta maaf kepada Massimiliano Allegri, saya masih mempunyai tempoh kontrak di sini selama dua tahun lagi dan saya tidak akan berganjak -- mustahil, kecuali jika mereka memecat saya, maka saya pergi," katanya.

"Tetapi sekiranya Manchester City masih mahukan saya, saya akan kekal di sini selama dua tahun lagi. Saya tidak akan menyertai Juventus dalam dua musim berikutnya."

Guardiola menambah: "Namun, ia berpunca daripada anda. Hanya kerana khabar angin di Twitter mengatakan saya akan melatih di Amerika Syarikat, kemudian ia diterbitkan di halaman akhbar... Apa yang boleh saya katakan? Tidak ada apa-apa."