Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menggesa Leroy Sane agar menggunakan penyingkiran daripada skuad Piala Dunia Jerman sebagai satu motivasi pada musim 2018/19.

Sane disingkirkan secara mengejut daripada senarai 23 pemain Jerman selepas memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA, mencatat 10 jaringan dan mencipta 15 bantuan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris, musim lalu.

Jerman, selaku juara bertahan, gagal mempamerkan aksi cemerlang di Russia apabila tersingkir di peringkat kumpulan buat kali pertama sejak 1938.

Justeru, Guardiola mahu pemain berusia 22 tahun itu menggunakan kekecewaan itu sebagai pemangkin semangat buat dirinya.

"Dia memppunyai peluang untuk membuktikan kemampuan kepada skuad Jerman dan apa yang penting, dia masih memiliki satu lagi musim untuk mempamerkan kualiti.

"Dia masih muda dan dalam masa dua tahun lagi, EURO 2020 akan tiba sambil empat tahun lagi akan berlangsung Piala Dunia seterusnya.

"Saya rasa perkara itu sudah berlalu. Pengendali skuad kebangsaan Jerman melakukannya untuk kebaikan seluruh pasukan."