Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berharap pemenang kejuaraan 'treble' musim lalu itu dapat menambah kekuatan di bahagian pertahanan tengah menjelang permulaan musim baru ini.

The Citizens sedang dalam pencarian pertahanan baru ekoran pemergian kapten pasukan, Vincent Kompany, daripada Stadium Etihad selepas berkhidmat selama 11 musim.

City dikaitkan dengan pertahanan Leicester City, Harry Maguire, dan ketika Guardiola enggan berbicara mengenai pertahanan kebangsaan England itu, dia mengakui pasukannya mempunyai sasaran yang dikehendaki dalam pasaran pemain.

"Kita akan lihat," katanya ketika ditanya sama ada City perlu mencari pengganti Kompany.

"Namun, ya kami sedang menantikan beberapa nama.

"Pada masa sama, kami mempunyai tiga pertahanan tengah untuk diturunkan dan dua pemain muda daripada pasukan kedua yang boleh membantu kami.

"Kita akan lihat sama ada terdapat pembelian yang mungkin berlaku andai kelab ini percaya kami boleh membelanjakan wang.

"Jika tidak, kami tidak perlu mengeluarkannya," katanya.

Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu turut menjelaskan tentang spekulasi mengenai pemain sayap Jerman, Leroy Sane.

"Kami mahukan dia kekal di sini.

"Harap-harap dia akan kekal musim ini dan satu musim lagi dan satu musim lagi.

"Kerana itu kami menawarkannya kontrak baru.

"Saya mahukannya. Dia mempunyai kualiti yang istimewa.

"Kami bermain menggunakan bahagian sayap dan kami memerlukan pemain sayap sebenar.

"Namun, ia terpulang kepadanya.

"Ia sama seperti apa yang berlaku kepada (Jadon) Sancho.

"Kami mahukannya, kami memberikan segala-galanya, namun pada akhirnya, jika dia tidak mahu, apa yang boleh anda lakukan?

"Tiada apa," tambahnya.

City setakat ini telah melakukan dua pembelian dengan pemain tengah Sepanyol, Rodri, menyertai pasukan itu dengan rekod pembelian £63 juta (RM323.6 juta) manakala pertahanan sayap, Angelino, kembali menyertai pasukan itu daripada PSV Eindhoven.