Pep Guardiola berharap pemain tengah, Fernandinho, kekal di Manchester City selepas tamat musim ini apabila kontraknya berakhir.

Pemain berusia 34 tahun itu menyertai City pada 2013 daripada Shakhtar Donetsk dan kini bertindak sebagai salah seorang tonggak tengah pasukan.

Tampil beraksi 29 kali musim lalu dalam usaha mempertahankan kejuraan liga, dia kini turun sebagai pertahanan tengah dalam ketiadaan Aymeric Laporte dan John Stones ekoran kecederaan.

Pemain tengah skuad kebangasan Sepanyol, Rodri, yang dibawa daripada Atletico Madrid dalam jendela perpindahan sebelum ini merupakan pengganti jangka masa panjang buat Fernandinho, namun Guardiola masih lagi memerlukan khidmat pemain veteran itu.

"Saya tidak tahu bagaimana perbincangan kontraknya," kata Guardiola.

"Sememangnya, dia merupakan salah seorang pemain yang menarik dan telah melakukan yang terbaik untuk City."

Pertahanan kiri, Benjamin Mendy, hampir kembali ke tahap terbaik selepas terlepas hampir keseluruhan musim lalu ekoran kecederaan lutut.

Dan Guardiola teruja menantikan kehadiran semula pemain kebangsaan Perancis itu dan yakin kehadirannya mampu meningkatkan lagi corak permainan City.

"Mendy akan bermain dengan lebih kerap pada masa akan datang dan dia telah cuba memahami apa yang diperlukan pasukan kerana terlepas peluang beraksi hampir dua musim.

"Dia akan meningkatkan lagi corak permainan pasukan ketika menyerang. Kami berharap dia akan kekal cergas dan bebas daripada kecederaan bagi musim ini."