SHEFFIELD UNITED 0 MANCHESTER CITY 1

Pep Guardiola lega apabila Manchester City dapat mengatasi aksi "degil" Sheffield United selepas Sergio Aguero, yang dimasukkan sebagai pemain gantian, menjaringkan gol tunggal perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Bramall Lane awal pagi tadi.


Penjaga gol The Blades, Dean Henderson, hampir menjadi pemusnah buat pasukan juara bertahan itu dengan siri aksi menyelamat gemilang yang dilakukannya.

Sepakan penalti Gabriel Jesus dalam babak pertama diselamatkan dan Raheem Sterling juga terlepas peluang sebelum Aguero memastikan tiga mata buat pasukannya dengan menyudahkan hantaran lintang Kevin De Bruyne pada minit ke-73.

"Ia tempat yang sukar untuk dikunjungi, mereka bermain dengan amat fizikal," katanya kepada BT Sport.

"Ia persembahan yang utuh, kami hanya dapat melakukan dua percubaan.

"Dalam babak pertama, penjaga gol mereka menyelamatkan dua keadaan.

"Saya amat gembira dengan pasukan ini.

"Saya sedar bagaimana keadaan untuk bermain di sini, ia tempat yang amat-amat sukar.

"Kami mengawalnya dengan baik dan pada akhirnya, kami mencipta peluang untuk memenanginya," katanya.

Guardiola menurunkan Aymeric Laporte sebagai kesebelasan utama buat kali pertama sejak Ogos lalu gara-gara kecederaan lutut.

Pemain kebangsaan Perancis berkenaan beraksi selama 78 minit dalam sistem yang membantunya itu.

"Kami sedar Aymeric tidak boleh beraksi untuk 90 minit, disebabkan itu kami bermain dengan lima pertahanan untuk melindunginya.

"Dia pemain yang amat penting buat kami, kami merinduinya, amat baik apabila dia kembali bersama kami," tambahnya.

Gol kemenangan itu hadir melalui sumber yang sudah dijangkakan dengan Aguero menyudahkannya tidak lama selepas menggantikan Jesus, yang mensia-siakan peluang selepas Riyad Mahrez mendapatkan sepakan penalti.

Aguero mengatasi rekod 250 gol ketika City terikat 2-2 dengan Crystal Palace, Khamis lalu dan dia kini sudah menjaringkan lapan gol daripada lima perlawanan terakhir di gelanggang lawan.

Ketajamannya itu mendapat pujian pengurus berkenaan.

"Semangat Sergio sedang membara. Penyerang memerlukan momentum. Amat baik buat kami untuk memiliki penyerang dengan prestasi sepertinya," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa