Penyerang Manchester City, Sergio Aguero, tetap tidak dijanjikan jaminan dalam kesebelasan utama walaupun baru memperbaharui kontraknya, kata pengurus pasukan, Pep Guardiola.

Semalam, City mengumumkan bahawa penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab itu bersetuju untuk menambah tempoh lanjutan bersama kelab, yang menyaksikannya bakal kekal di Etihad sehingga Jun 2021.

Pemain berusia 30 tahun itu mengesahkan status selaku salah seorang penggempur terbaik Liga Perdana Inggeris selepas tiba daripada Atletico Madrid pada 2011 tetapi Guardiola menuntutnya agar lebih banyak menyumbang buat pasukan sejak hadir ke England, dua tahun lalu.

Gabriel Jesus datang ke dalam pasukan dari Palmeiras untuk memberikan persaingan buat Aguero dan bekas pengurus Barcelona itu percaya Aguero mungkin terpaksa dikeluarkan daripada kesebelasan utama jika perlu.

Ditanya sama ada dia risau Aguero akan meninggalkan pasukan, Guardiola memberitahu: "Tidak. Anda sering bertanya kepada saya, terutama dalam tahun pertama di mana kami tidak menang dan apabila Aguero tidak beraksi, apa yang terjadi kepada Aguero?

"Saya faham apabila keputusan perlu dibuat kerana ia sering berlaku ketika bersama Barca. Saya sedar reaksi daripada banyak pihak akan tidak bagus tetapi keputusan perlu dibuat.

"Hubungan saya dan Aguero sentiasa menjadi keutamaan dan ia sempurna. Saya gembira dia terus beraksi di sini.

"Selalu berlaku apabila dia tidak beraksi, ia disebabkan saya rasa Jesus patut bermain atau harus menggunakan corak permainan berbeza. Ia akan terus berlaku dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Kini, dia semakin mengenali saya, begitu juga dengan diri saya dan itu yang paling penting," ujarnya.

Selepas melalui kempen Piala Dunia yang mengecewakan bersama Brazil, Jesus hanya mencatat satu jaringan buat City musim ini dan digantikan oleh Aguero selepas beraksi selama 63 minit ketika mereka tewas 2-1 di tangan Olympique Lyon dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, kelmarin.

Namun, Guardiola berpendapat pemain berusia 21 tahun itu masih banyak yang perlu dipelajari.

"Tekanan awal yang dimiliki oleh Jesus di atas padang adalah yang terbaik di dunia tetapi dia masih muda dan memiliki ruang untuk terus meningkat," tambah Guardiola.