Pep Guardiola berkata penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) perlu lebih konsisten selepas Manchester City dinafikan jaringan kemenangan pada saat akhir ketika seri 2-2 dengan Tottenham Hotspur semalam.

Gabriel Jesus menyumbat gol ketiga buat City di penghujung perlawanan, namun dinafikan oleh pengadil selepas VAR mendakwa bola terkena tangan Aymeric Laporte, sekali gus mencetus situasi sama ketika pertemuan dengan Spurs dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Tatkala VAR membantu Spurs, ia tidak memberi kelebihan buat City pada awal permainan apabila Erik Lamela dilihat menarik Rodri ketika sepakan sudut.

Guardiola berang sewaktu merujuk kepada perbezaan itu, berjenaka bahawa VAR sedang bercuti ketika insiden tersebut.

"Dalam babak pertama, penalti? Tanyakan kepada dua pengadil. Kemudian, pergi ke London dan tanya kepada VAR," katanya.

"Pergi ke London, tanya ketua besar. Saya bukan VAR. Mereka memberi contoh kepada pengurusan Liga Perdana Inggeris, itu yang saya nampak. Namun, apa boleh saya katakan?

"Ia penalti. Lamela menarik Rodri dan pastinya penalti. Mungkin ketika itu, VAR sedang minum kopi.

"Mengapa Fernando Llorente tidak dipersalahkan sewaktu bola terkena tangannya dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu tetapi hari ini ia dibatalkan? Mengapa?

"Sebab itu kami perlukan penjelasan. Mengapa Andreas Christensen (Chelsea) tidak dipersalahkan tetapi perlawanan melibatkan Wolverhampton Wanderers menjadi kesalahan?

"Menyedihkan kerana ia berlaku pada minit terakhir. Kami melaluinya ketika Liga Juara-Juara dan hari ini, dalam serangan terakhir, kami jaringkan gol. Namun, tanyalah kepada VAR."

Jesus menggantikan Sergio Aguero, yang dilihat bertelagah dengan Guardiola sewaktu meninggalkan padang tetapi pengendali City itu menafikan sebarang perkara serius.

"Dia percaya saya tidak gembira dengannya selepas kami melepaskan gol," ujar Guardiola.

"Namun, sebenarnya kami mahukan pergerakan ketika itu dan Aguero tidak dapat melakukannya. Ia sebahagian daripada permainan kami, ia beremosi dan kami sentiasa bercakap dalam proses itu. Saya sangat sayangkannya."