Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memberitahu pemain-pemainnya supaya tidak memikirkan untuk menjuarai empat gelaran jika mahu mencapai sasaran itu.

Penyandang juara itu masih lagi di landasan untuk mempertahankan gelaran di samping berada dalam pusingan separuh akhir Piala FA sementara mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas menjuarai Piala EFL musim ini.

Guardiola meraih 'treble' ketika membimbing Barcelona dan dua kali melakar kejuaraan berganda bersama Bayern Munich, namun pengendali kelahiran Sepanyol itu mahu pemain-pemain mengambil perlawanan demi perlawanan.

"Kami sedang berusaha untuk mencapai sesuatu yang sukar," katanya.

"Pada permulaan bulan ini, kami memiliki dua gelaran yang perlu dimenangi musim ini.

"Pemain-pemain membuktikan mereka sedang berusaha untuk memenangi sebanyak perlawanan yang mungkin. Kami akan berdepan Cardiff City selepas ini dan saya berasakan mereka sudah bersedia.

"Saya cuba menurunkan barisan yang terbaik, melihat keadaan pemain-pemain menerusi sesi latihan dan memberikan keutamaan kepada perlawanan seterusnya.

"Ia adalah jalan terbaik berdasarkan pengalaman saya bersama kelab lain ketika bersaing untuk meraih banyak gelaran. Usah berfikir terlalu jauh. Mereka perlu menampilkan permainan terbaik."