Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memujil pemain handalannya, Kevin De Bruyne, kerana melakukan hantaran luar biasa yang pemain lain tidak mampu lakukan.

Pemain tengah Belgium itu memperagakan permainan jitu untuk mencetuskan inspirasi kepada City menerusi kemenangan 3-0 ke atas Arsenal dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

De Bruyne menyumbat dua gol, termasuk mencipta bantuan jaringan buat Raheem Sterling untuk membantu juara bertahan itu yang ketinggalan 14 mata, terus menghambat Liverpool.

Pemain kreatif itu memainkan peranan hebat di jentera serangan dan biarpun memuji kemampuan hantarannya, Guardiola juga kerap menugaskan De Bruyne untuk membantu bahagian pertahanan.

"Kevin menjaringkan dua gol dan mencipta dua bantuan jaringan," kata Guardiola dalam sidang media selepas perlawanan.

"Dia merupakan seorang pemain yang luar biasa, kami tidak menghalang kualitinya. Dia boleh menghidu hantaran dan sepakannya itu jarang boleh dilakukan oleh manusia biasa. Dia mempunyai visi dan peluang yang istimewa.

"Kami sentiasa berkata kepadanya, 'anda perlu mencetak lebih banyak gol lagi' dan hari ini dia menyumbat dua jaringan yang luar biasa dan mencipta satu gol untuk Raheem Sterling.

"Kevin boleh bermain di posisi yang berbeza tetapi tentu saja, apabila mereka boleh menumpukan perhatian kepada serangan dan kurang bertahan, itu lebih baik."

Guardiola turut berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan Phil Foden yang diturunkan dalam kesebelasan utama liga buat julung kalinya musim ini.

City kerap mengatasi The Gunners dalam serangan balas, namun pengurus berbangsa Sepanyol itu menjelaskan corak permainan sedemikian tidak sesuai buat pemain berusia 19 tahun itu.

"Phil sentiasa bermain dengan baik," kata pengurus itu. "Dia jarang menyentuh bola tetapi dia beraksi dengan baik.

"Kami melancarkan serangan balas tetapi kurang menguasai bola, jadi sebab itulah dia jarang dapat menyentuh bola.

"Apabila dia dapat mengawal bola, dia akan melakukan perkara yang luar biasa. Dia seorang pemain yang hebat.

"Dia melakukan apa yang harus dilakukan dan membantu kami memenangi perlawanan, khususnya dalam babak pertama. Dia sangat bijak dalam soal hantaran."