Pep Guardiola berikrar bahawa Manchester City tidak akan menyerah kalah dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Kekalahan 1-2 kepada seteru setempat , Manchester United, bukan sahaja membuatkan City semakin jauh untuk menghambat skuad kendalian Jurgen Klopp itu, malah tiga mata dipisahkan dengan pasukan di tangga kedua, Leicester City, yang hanya akan turun beraksi malam ini.

City harus mengekalkan rentak kemenangan dengan harapan Liverpool akan keciciran mata bagi menyalakan harapan mereka dalam misi mempertahankan kejuaraan.

Walaupun usaha The Citizens untuk mengekalkan trofi itu semakin pudar, pengurusnya, Guardiola, enggan berputus asa -- malah tidak mahu terlalu fokus dengan situasi berkenaan.

"Ia bukan masanya untuk memikirkan (perlumbaan gelaran)," kata Guardiola kepada Sky Sports.

"Kami perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan dan memikirkan perlawanan seterusnya. Tidak kira sama ada ia dipisahkan dengan enam, lapan atau 14 mata, kami perlu teruskan usaha. Kami adalah sebuah pasukan yang mengagumkan."

City diasak hebat oleh United dalam separuh masa pertama pertemuan di Stadium Etihad itu, yang menyeksakan penyokong tuan rumah menerusi sepakan penalti Marcus Rashford dan jaringan sumbangan Anthony Martial.

Rashford terlepas satu peluang menarik selain menggegar palang manakala Jesse Lingard dan Martial juga sepatutnya menambah bilangan jaringan buat United.

Pasukan pelawat lebih menyerlah dalam tempoh itu manakala prestasi City pula tenggelam, namun Guardiola tetap berdiri teguh dengan pemainnya apabila meningkatkan persembahan selepas itu.

Nicolas Otamendi menanduk masuk jaringan buat City ketika permainan berbaki lima minit dan beberapa detik kemudian, Riyad Mahrez memaksa David de Gea untuk bertindak cemerlang.

Bekas pengurus Barcelona, ​​Guardiola berkata: "Kami membenarkan tiga atau empat serangan balas dalam babak pertama.

"Saya gembira dengan persembahan kami. Kami memberi tekanan, kami mencipta peluang. Secara umumnya, saya gembira dengan persembahan kami.

"Saya tahu siapa kami sebagai pasukan. Saya gembira dapat bekerjasama dengan pemain-pemain ini, kami mencuba dan terus mencuba dalam babak kedua. Malangnya, kami meledak gol pada lewat permainan dan tidak dapat mengubah keputusannya."