Guardiola gembira ketepi perbalahan dengan Mourinho 

Oleh Staff Writer 10 November 2018 1944
 Guardiola gembira ketepi perbalahan dengan Mourinho 
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menyifatkan seteru lamanya, Jose Mourinho, sebagai "pengurus yang baik" menjelang pertemuan 'derby' Manchester, awal pagi Isnin ini. 

Pengurus United, Mourinho, acap kali bertengkar dengan Guardiola sejak bertahun-tahun lalu kerana saling bersaing sengit sejak masing-masing melatih Real Madrid dan Barcelona.

Mourinho dianggap berasa jengkel dengan keputusan Barca untuk melantik Guardiola berbandingnya pada 2008 dan pasangan itu sering terlibat dengan perbalahan dalam kancah LaLiga.

Dalam satu pertembungan 'El Clasico', gelagat Mourinho yang mencucuk mata pembantu Guardiola, Tito Vilanova, telah mencetus pertelagahan di antara kedua-dua pasukan. 

Namun, sejak mereka mengendalikan United dan City, hubungan di antara Mourinho dan Guardiola kelihatan lebih mesra sambil pengurus dari Catalan itu berasa lega dapat menghindarkan pertelagahan pada masa lalu.

"Terima kasih banyak, Terima kasih," kata Guardiola ketika ditanya apakah dia gembira dengan fokus sebelum perlawanan yang tidak melagakannya dengan Mourinho.

"Pada akhirnya, kami berdua mempunyai hubungan yang baik, lebih daripada yang anda harapkan. Lebih baik, percayalah."

United akan turun dengan reputasi mencipta dua kebangkitan berturut-turut, iaitu kemenangan 2-1 di Bournemouth disusuli kemenangan menakjubkan di Juventus dalam kempen Liga Juara-Juara dengan keputusan yang sama.

Tendangan bebas Juan Mata memastikan kebangkitan United setelah Cristiano Ronaldo terlebih dahulu membuka tirai gol, namun gol sendiri Leonardo Bonucci pada minit ke-89 menghadiahkan kemenangan bergaya United dalam aksi Kumpulan H itu. 

"Tiada pasukan yang menang di Turin dalam tempoh sembilan tahun terakhir, betapa mantapnya Juventus," kata Guardiola.

"Mereka berdepan masalah selama 10 minit selepas gol Cristiano itu, namun mereka begitu stabil menerusi komitmen dan pendekatan agresif tanpa bola.

"Beberapa minggu lalu di Stamford Bridge (menentang Chelsea), ia merupakan salah satu gelanggang yang paling sukar dan mereka hampir menang.

"Dalam sejarah Manchester City, sukar untuk mengalahkan United dan mereka lebih banyak mengalahkan kami tetapi ini adalah perseteruan yang menarik dan peluang baik untuk meraih tiga mata.

"Kami akan cuba, khususnya untuk menghidangkan aksi menarik. Saya akan bercakap dengan pemain mengenai apa yang saya rasa akan berlaku dan mencadangkan apa yang perlu dilakukan untuk memenangi perlawanan.

"Kami perlu beraksi bagus, cabaran dalam bola sepak adalah untuk bermain bagus dan mempunyai peluang lebih besar untuk menang. 

"Apabila berdepan pasukan teratas, anda tidak dapat membayangkan dan memikirkannya. Kami perlu bermain dengan aksi luar biasa sepanjang tempoh 90 minit dan menutup peluang mereka," tambahnya.

United juga dipaksa bangkit ketika pertembungan di Stadium Etihad, April lalu, untuk menyangkal peluang City mengesahkan gelaran Liga Perdana dalam aksi 'derby' menerusi kemenangan menakjubkan 3-2.

"Saya mahu kami mengulangi aksi mantap sepertimana yang dipamerkan sepanjang 75 minit pertama dalam pertemuan terakhir. Tetapi pada musim lalu, United telah membuktikan bahawa mereka hanya memerlukan 10, 15, 20 minit untuk mencipta banyak peluang," kata Guardiola.

"Ia mencetuskan sensasi sebaik mereka menguasai bola dan melancarkan asakan. Wau, mereka mempunyai bakat yang luar biasa di barisan depan dan tengah. Anda perlu bertahan dengan baik bagi menyekat hantaran lintang mereka kerana mereka sangat bagus dan lebih baik daripada kami dalam situasi bola pegun. 

"Kami perlu memperagakan aksi sebenar dan menguasai permainan seberapa banyak yang boleh, kami perlu klinikal -- itulah corak permainan yang akan kami tampilkan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen