Pep Guardiola dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik buat tahun kedua berturut-turut selepas memimpin Manchester City mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

City menamatkan saingan EPL satu mata di depan Liverpool selepas bersaing sengit untuk mengekalkan kedudukan di puncak sehingga hari terakhir.

Kejayaan mencatat 32 kemenangan dan dua seri menjamin City 98 mata, kurang dua mata berbanding rekod 100 mata yang dilakar mereka musim lalu.

Juara Piala Liga Inggeris (EFL) itu turut berpeluang untuk menamatkan kempen musim ini dengan kejuaraan domestik ketiga sekiranya mengalahkan Watford dalam perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini.

Guardiola diumumkan sebagai pemenang dalam Majlis Anugerah Persatuan Pengurus-Pengurus, semalam.

"Ia satu penghormatan untuk menerima anugerah ini," kata bekas pengurus Barcelona itu dalam satu mesej video.

"Saya ingin berkongsi kejayaan ini dengan barisan saya kerana merekalah artis utama selain kakitangan saya kerana mereka berhempas-pulas untuk berdepan kesemua pengurus EPL, terutama Jurgen Klopp yang merupakan pesaing yang luar biasa sehingga ke hari terakhir.

"Ia merupakan satu keseronokan untuk menentang mereka dan saya berharap kami akan terus bersaing sengit lagi dalam memburu gelaran yang luar biasa ini."

Klopp, pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, dan pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo, adalah antara calon bagi anugerah itu yang ditentukan menerusi undian awam serta ahli panel pakar.

Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson, tampil untuk menyampaikan trofi Pengurus Terbaik LMA kepada Chris Wilder yang turut dinamakan sebagai Pengurus Terbaik Liga Kejuaraan selepas membimbing Sheffield United layak ke EPL.