Pep Guardiola berkata bintang Manchester City, Kevin De Bruyne, sedih selepas diketepikan selama enam minggu ekoran kecederaan ligamen lutut untuk beraksi bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

De Bruyne masih belum tampil dalam kesebelasan utama City dalam saingan liga kerana diketepikan apabila mengalami kecederaan lutut.

Musim De Bruyne bertambah buruk apabila dia mengalami kecederaan terbaru ketika mengatasi Fulham 2-0 dalam saingan Piala EFL dan bakal terlepas aksi derbi Manchester minggu depan serta baki saingan Liga Juara-Juara (UCL).

De Bruyne mungkin kembali beraksi pada 8 Disember dan Guardiola mendedahkan perasaan sebenar yang dihadapi oleh perancang utama The Citizens itu.

"Dia sangat sedih. Saya tidak berjumpanya selepas perlawanan tetapi De Bruyne sangat kecewa dengan apa yang perlu dilaluinya," kata Guardiola.

"Dia boleh meluangkan masa bersama keluarga terlebih dahulu dan mungkin akan kembali beraksi pada penghujung tahun ini.

"Kami berharap dapat kekal dalam saingan UCL sebelum dia kembali beraksi. Kemungkinan dengan kehadiran De Bruyne yang segar secara mental dan fizikal dapat membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan."

City turut tanpa khidmat Ilkay Gundogan dan Nicolas Otamendi menjelang kunjungan Southampton esok, yang dipimpin oleh bekas pengendali City, Mark Hughes.

"Gundogan telah mula berlatih bersama pasukan tetapi sebelum perlawanan berdepan Fulham, dia berasa kurang selesa dan tidak diturunkan dalam perlawanan tersebut.

"Otamendi masih lagi tidak menjalani latihan bersama pasukan tetapi dia memiliki mentaliti yang kuat, jadi saya mungkin dapat menurunkannya berdepan Southampton."