MAN CITY 3 BRIGHTON 1

Pep Guardiola menegaskan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, perlu membuktikan aksi konsisten dalam beberapa musim akan datang jika mahu dibandingkan dengan beberapa kelab terbaik EPL.


City melakar tiga rekod baru EPL ketika mengatasi Brighton and Hove Albion 3-1 awal pagi tadi, dengan menjaringkan lebih lagi gol dan mengumpul mata lebih banyak jika dibandingkan dengan mana-mana kelab dalam saingan ini.

Kemenangan ke atas Southampton dalam aksi terakhir bakal menyaksikan City meraih 100 mata tetapi Guardiola teruja dengan intensiti yang dipamerkan oleh pasukannya pada penghujung musim ini tetapi masih belum menyifatkan pasukannya adalah yang terbaik dalam sejarah bola sepak Inggeris.

"Untuk menjadi yang terbaik, anda perlu memenangi lebih banyak lagi. Untuk sebaris dengan United dan Liverpool, kami perlu memenangi banyak lagi," kata Guardiola.

"Kami mahu memahat lebih banyak sejarah baru. Saya tidak boleh melupakan pada tahun 1980an -- Liverpool mendominasi, kemudian pada era 90an, Sir Alex Ferguson bersama United. Kami sangat gembira mengetahui beliau telah keluar daripada unit rawatan intensif (ICU) hari ini.

"Secara keseluruhannnya, kami adalah yang terbaik musim ini, kami sangat berpuas hati. Terdapat pasukan yang akan hadir untuk melakukan lebih baik jika kami tidak mengekalkan prestasi ini," katanya.

Pertahanan, Danilo, membuka jaringan pada minit ke-16 sebelum Leonardo Ulloa menyamakan kedudukan empat minit kemudian.

Leroy Sane melakukan umpanan kepada Bernando Silva untuk meletakkan City kembali di depan sebelum Fernandinho memastikan kemenangan City dalam babak kedua.