Pep Guardiola menggesa Manchester City untuk mengejar kejuaraan 'treble' musim ini setelah mengekalkan trofi Liga Perdana Inggeris susulan kemenangan 4-1 ke atas Brighton and Hove Albion semalam.

City ketinggalan hasil tandukan Glenn Murray di Stadium Amex tatkala mereka memerlukan kemenangan untuk memastikan berada di atas Liverpool.

Namun Sergio Aguero membuktikan keampuhan menerusi gol penyamaan pantas sebelum Aymeric Laporte memberikan pelawat pendahuluan sebelum rehat.

Riyad Mahrez dan Ilkay Gundogan kemudian menambah dua lagi gol, masing-masing dari luar kotak penalti, bagi membolehkan City mencatat 98 mata dan satu mata mengatasi The Reds yang menundukkan Wolverhampton Wanderers 2-0.

Selepas menjuarai Piala EFL, Februari lalu, City akan berdepan aksi final Piala FA bertemu Watford minggu depan sambil belum ada kelab England yang menyapu bersih ketiga-tiga trofi domestik tersebut.

"Tiada pasukan di England pernah melakukannya. Kami berpeluang, jadi kami fokus untuk perlawanan itu," kata Guardiola.

"Piala FA bukan mudah untuk dicapai. Kami datang ke stadium keramat, Wembley, untuk menjuarainya."

Musim lalu, City mencipta rekod apabila mengutip 100 mata sebelum menyamai rekod 32 kemenangan daripada 38 aksi musim ini.

Ditanya sama ada City layak dijelmakan sebagai pasukan terbaik sepanjang zaman Liga Perdana Inggeris, Guardiola -- yang pernah meraih tiga kejuaraan liga bersama Barcelona dan Bayern Munich -- berkata perkara itu boleh dinilai apabila sudah sampai waktunya.

"Saya sentiasa memiliki teori, sama seperti ketika di Barca. Apabila saya di sana, ia adalah pasukan terbaik dan sebagainya," ujar Guardiola.

"Dalam 10, 15 atau 20 tahun, orang ramai akan bercakap mengenai pasukan ini kerana kami sangat bagus. Ia seperti buku atau filem apabila masa beredar. Selepas 25 tahun, orang ramai akan menonton filem atau membaca buku sama.

"Dalam 15 atau 20 tahun, mereka akan berkata bahawa pasukan ini mengutip banyak mata, beraksi dengan baik dan berhak setaraf dengan pasukan terbaik Manchester United, Liverpool, Chelsea atau Arsenal. Saya rasa sekarang bukan masanya."