Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, bimbang momentum pasukannya terganggu oleh Wolverhampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

City kini telah merakamkan empat kemenangan berturut-turut, termasuk menewaskan Liverpool 2-1, di samping melangkah ke pusingan keempat Piala FA dengan mengatasi Rotherham United dan membenam Burton Albion 9-0 dalam aksi pertama separuh akhir Piala EFL, Rabu lalu.

Tetapi Guardiola menyedari Wolves -- yang diberikan nafas baru di bawah pimpinan Nuno Espirito Santo -- akan menghadirkan ujian buat mereka di Stadium Etihad.

"Kami mengetahui cara Wolves bermain dan mereka mampu menghadirkan kesukaran kepada pasukan," kata Guardiola.

"Wolves memiliki kekuatan fizikal, mampu menghasilkan peluang menerusi sepakan percuma, ia barisan pemain yang berkualiti ketika melancarkan serangan balas.

"Barisan pertahanan mereka juga berdisiplin, bijak mengubah corak permainan dan kehadiran Ruben Neves dan Joao Moutinho melonjakkan mutu pasukan.

Guardiola berharap Sergio Aguero dan kapten, Vincent Kompany, berada di tahap terbaik untuk aksi pada Isnin nanti.

"Aguero kurang sihat selepas perlawanan bertemu Liverpool tetapi telah mula menjalani latihan bersama pasukan. Kompany masih dalam fasa pemulihan dan saya berharap dapat menurunkannya."