Pep Guardiola tidak terkejut dengan pencapaian Sheffield United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sambil pengurus Manchester City itu berkata dia mempelajari beberapa perkara dengan menyaksikan pasukan kendalian Chris Wilder itu.

The Blades berada di tangga ketujuh EPL -- hanya enam mata dipisahkan dengan slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) -- dalam kempen pertama mereka dalam liga divisyen utama itu.

Corak permainan berkualiti tinggi yang dipamerkan menyaksikan Wilder kini memiliki ramai peminat baru dan Guardiola merupakan sebahagian daripada mereka.

City akan berkunjung ke laman Sheffield United awal pagi esok selepas dikerah untuk memperoleh kemenangan 2-0 di tempat sendiri bulan lalu.

"Saya amat-amat kagum," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Apabila mereka kata anda boleh meningkat apabila menyaksikan perlawanan lain, pasukan lain, pengurus lain, itulah mereka.

"Saya tidak pernah melihat pergerakan seperti yang mereka lakukan.

"Disebabkan itulah mereka berada di posisi mereka sekarang.

"Kami pernah melihatnya di sini (Stadium Etihad), kami menderita di sini beberapa minggu lalu.

"Saya amat-amat kagum. Sejujurnya, saya meminati mereka.

"Saya meminati cara permainan mereka dan apa yang mereka lakukan.

"Dengan pengurus dan peratusan pemain yang sama daripada Liga Satu (divisyen tiga), ke Liga Kejuaraan dan kini Liga Perdana, dan menghampiri kelompok teratas liga.

"Saya menggemarinya. Sebagai pengurus, anda perlu melihat pasukan lain supaya anda dapat meningkat.

"Saya melihat mereka," katanya.



Editor: Muzaffar Musa