Pep Guardiola berbangga dengan cara Manchester City meneruskan persaingan dengan Liverpool sepanjang musim ini sambil mengakui ia akan menjadi tidak bermakna andai mereka gagal meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Juara bertahan, City, ketinggalan dua mata di belakang Liverpool menjelang perlawanan dengan Leicester City di Stadium Etihad, awal pagi esok selepas The Reds menewaskan Newcastle United 3-2, semalam.

Tekanan kian muncak menjelang penutup musim ini dan Guardiola gembira kerana dapat kekal bersaing dengan Liverpool yang dilabelnya sebagai lawan paling hebat pernah dihadapinya.

Guardiola mengakui cabaran yang dialuinya musim ini sebagai yang paling sukar, namun berasakan City tidak akan mendapat pengiktirafan yang sepatutnya melainkan mereka memenangi kejuaraan.

"Ia merupakan liga paling sukar yang pernah saya sertai, dengan kualiti daripada setiap seteru, ia tidak syak lagi.

"Kerana itu, memenanginya adalah sesuatu yang luar biasa.

"Hanya satu pasukan akan menjulang kejuaraan manakala satu pasukan lagi akan pulang hampa.

"Selepas berada di sini, kami perlu menjuarainya untuk mendapatkan pengiktirafan.

"Saya tidak katakan mendapat 100 mata itu buruk tetapi anda diktiraf berdasarkan betapa besarnya seteru anda.

"Sepanjang karier saya, saya berdepan banyak pasukan yang luar biasa, terutama Barcelona, yang dibimbing Luis Enrique dan Liverpool.

"Mereka merupakan dua pasukan terbaik yang pernah saya tentang," katanya.

City akan menamatkan musim ini dengan kurang daripada 100 mata.

Ia berbeza ketika mereka melakukannya musim lalu.

Bagaimanapun, Guardiola percaya pasukannya telah mencapai tahap yang setanding dengan musim sebelumnya.

"Perbezaannya adalah Liverpool. Kami telah melakukan perkara yang sama dengan pemain dan keseluruhan kelab yang sama, jadi sudah pasti itu adalah penyebabnya.

"Saya berasakan yang kami telah mengekalkan tahap yang sama dan kami mampu untuk mengulanginya.

"Kami berada satu mata di depan Liverpool (sebelum perlawanan dengan Newcastle) dan saya menyaksikan mereka beraksi di Camp Nou dan berasakan 'wah, kami berada di tahap itu'.

"Mereka hanya tewas satu perlawanan Liga Perdana dan kini berada dalam separuh akhir Liga Juara-Juara.

"Namun, kami berkelebihan 20 mata dengan pasukan di tangga ketiga.

"Saya tidak menjangkakan kami akan mengekalkan tahap itu.

"Apabila anda meraih 100 mata, semua orang akan rasakan yang kami tidak perlu lakukan apa yang kami perlu lakukan. Perkara sebaliknya berlaku.

"Setiap tiga hari, dalam kesemua kejohanan, kami mencuba untuk beraksi dan mencuba untuk menang.

"Adakalanya ia tidak menjadi dan kami menerima kekalahan kami.

"Setelah sampai ke tahap ini dengan hanya berbaki dua perlawanan, menjuarainya memberikan kepuasan terbesar yang saya pernah rasai sebagai pengurus dan mereka akan melakukannya sekali lagi.

"Kami akan mencuba untuk memenangi perlawanan itu dan turun ke Brighton dengan nasib di tangan kami," tambahnya.