Pep Guardiola memberikan isyarat positif terhadap Mikel Arteta dicelah-celah spekulasi bahawa pembantu jurulatih Manchester City itu berkemungkinan menyandang jawatan sebagai pengurus Arsenal yang seterusnya.

Arsene Wenger melangkah ke fasa akhir peranannya selama 22 tahun di Stadium Emirates pada akhir musim ini dan beberapa nama telah dikaitkan sebagai penggantinya.

Salah seorang yang disebut-sebut sejak beberapa hari ini ialah Arteta, yang menghabiskan kariernya dengan The Gunners dua tahun lalu untuk memainkan peranan di belakang tabir skuad Guardiola di City.

Di tempat latihan, bekas pemain Everton itu bekerjasama rapat dengan anggota utama City, terutama Raheem Sterling, selain dianggap Guardiola sebagai faktor dalam kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), justeru dia tidak meragui kebolehan pembantunya yang berusia 36 tahun itu.

"Saya bukan orang yang tepat untuk bercakap tentang perkara itu kerana pendapat saya tentang Mikel amat menggembirakan," katanya dalam sidang media menjelang lawatan City ke West Ham dalam aksi EPL, malam esok.

"Dia layak menjadi yang terbaik. Kami sangat selesa bekerja dengannya.

"Salah satu sebab kejayaan kami pada musim ini adalah kerana Mikel berada di sini," ujarnya.

Bekas pengurus Barcelona, ​Luis Enrique, turut menjadi perhatian Arsenal dan Guardiola percaya bekas rakan sepasukannya itu sememangnya layak.

"Dia seorang pengurus yang hebat," katanya.

"Dia boleh melatih di mana sahaja yang dia inginkan dan tentu saja Arsenal adalah salah sebuah kelab terbesar di dunia."

Guardiola menambah: "Saya tahu terdapat banyak nama dalam tempoh seterusnya selepas Wenger tetapi saya tidak tahu perancangan Arsenal.

"Sudah tentu, Luis Enrique dan Mikel layak mendapatkan yang terbaik dan apa mereka yang hajati," katanya lagi.