Greenwood tambah masalah kecederaan United

Oleh Staff Writer 8 Oktober 2019
Greenwood tambah masalah kecederaan United
Penyerang Manchester United, Mason Greenwood, diketepikan daripada skuad B-21 England gara-gara kecederaan.

Pemain berusia 18 tahun itu tidak menyertai skuad kendalian Aidy Boothroyd berkenaan disebabkan kecederaan belakang dan akan kekal di United sepanjang waktu rehat antarabangsa.

Pemain Wolves, Morgan Gibbs-White (kecederaan belakang), dan pemain Arsenal, Reiss Nelson (buku lali), turut dikeluarkan daripada skuad itu manakala dua wakil Swansea City, Sam Surridge dan Ben Wilmot, dipanggil untuk menyertai pasukan.

Greenwood, yang masuk sebagai pemain gantian ketika pasukannya tewas 0-1 kepada Newcastle United dalam Liga Perdana Inggeris kelmarin, sedang berperang dengan masa untuk memastikan tahap kecergasan terbaiknya menjelang kunjungan ke Liverpool, 20 Oktober ini.

Dia menyertai senarai kecederaan panjang United, yang mendatangkan waktu sukar buat pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

Paul Pogba, Jesse Lingard, Luke Shaw, Aaron Wan-Bissaka, Victor Lindelof, Eric Bailly, Phil Jones dan Anthony Martial, kesemuanya terlepas perlawanan di St James' Park, yang memanjangkan rekod tanpa kemenangan United kepada tiga perlawanan dalam semua kejohanan.

Selain kemenangan dalam penentuan penalti ke atas pasukan dari Liga Satu (Divisyen 3), Rochdale, dalam Piala Liga Inggeris (EFL), Solskjaer hanya mampu meraih tiga kemenangan sepanjang musim ini dan tidak pernah menang sejak menewaskan Astana dalam Liga Europa, 19 September lalu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen