Penyerang muda, Mason Greenwood, boleh beraksi dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris berdepan Chelsea, kata pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

Greenwood menjaringkan gol pertama di peringkat senior semalam selepas menyempurnakan hantaran lintang Aaron Wan-Bissaka dalam kemenangan 4-0 ke atas Leeds United di Perth.

Pemain berusia 17 tahun itu tiga kali tampil dalam saingan liga musim lalu dan mengisi kesebelasan utama ketika tewas 2-0 di tangan Cardiff City di Old Trafford dalam perlawanan terakhir.

Dan walaupun Solskjaer mempunyai pelbagai pilihan di bahagian depan, termasuk Marcus Rashford, Anthony Martial, Alexis Sanchez, Romelu Lukaku serta pemain baru, Daniel James, dia bersedia untuk mempertimbang untuk menurunkan Greenwood dalam pertemuan dengan anak buah Frank Lampard, 11 Ogos ini.

"Dia mempunyai peluang untuk mengisi kesebelasan utama," kata Solskjaer.

"Dia lebih daripada kebiasaan dan sentiasa berada di sana, di dalam dan luar kotak, mencipta peluang. Jika dia meneruskannya, sukar untuk mengetepikan pemain yang tampil cemerlang.

"Sudah tentu kami gembira dengan jaringan yang dia hasilkan. Penting buat seorang penyerang untuk meraih gol pertama walaupun kami tahu dia mampu melakukannya dan mungkin ia satu beban buatnya. Saya fikir pergerakan dan kebijaksanaan yang dimiliki membuatkan dia mampu menjadi pemain yang sangat bagus.

"Dia boleh beraksi di kesemua empat posisi barisan depan. Pembantu penyerang, sayap kanan, sayap kiri dan penyerang utama, dia seorang pemain bola sepak sejati. Berbekalkan kaki kiri, dia boleh beraksi di mana sahaja di bahagian serangan."

Greenwood menarik perhatian dengan persembahan memukau di peringkat belia buat United, sentiasa yakin menggunakan kedua-dua belah kaki apabila mempertaruhkan kaki kiri untuk sepakan percuma dan kaki kanan untuk sepakan penalti.

"Dia hampir kepada apa yang anda gelarkan 50-50, mungkin 51-49 kaki kiri dan anda melihat seorang pemain muda berbakat. Dia mempunyai peluang untuk bergelar pemain Manchester United," tambah Solskjaer.

"Sudah tentu ia melibatkan nasib, kekal bebas daripada kecederaan, tampil profesional dan saya pasti dia akan menggunakan kesempatan itu kerana segala-galanya ada untuk Greenwood."

Tiga lagi jaringan United semalam dihasilkan oleh Rashford, Phil Jones dan Martial, sekali gus memberi keyakinan kepada pasukan setelah mengatasi Perth Glory 2-0 sebelum ini.

"Kami menyumbat empat gol, mencipta lebih banyak peluang berbanding aksi sebelum ini, jadi saya gembira dengan usaha yang dilakukan," ujar Solskjaer.