Pengurus Everton, Marco Silva, berkata Andre Gomes masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya walaupun wujud dakwaan dia akan menyertai Tottenham Hotspur.

Gomes akan kembali daripada penggantungan tiga perlawanan apabila Everton berdepan finalis Liga Juara-Juara Eropah, Spurs, dalam aksi terakhir liga malam esok.

Pemain Portugal itu melakukan 28 penampilan buat The Toffees di sepanjang tempoh pinjaman daripada Barcelona dan dia dilihat akan meninggalkan juara LaLiga itu secara tetap selepas musim ini berakhir.

Tanpa berselindung, Silva mahu mengekalkan Gomes bersama seorang lagi pemain yang dipinjamkan ke Everton, Kurt Zouma, walaupun wujud laporan bahawa Spurs sudah semakin hampir mencapai persetujuan dengan pemain tengah itu.

Namun, Silva yakin tiada sebarang perjanjian dan berharap harapan Everton terhadap Gomes -- yang mengalami musim suram bersama Barca -- akan terbalas.

"Maklum balas yang saya terima daripada Gomes sehingga hari ini, memandangkan hubungan kami begitu jujur, bahawa dia masih belum membuat sebarang keputusan," ujar Silva.

"Mungkin 10 bulan lalu apabila kami bercakap tentang Gomes, kami percayakannya ketika itu dan mungkin kelab lain tidak mempercayainya dan sudah tentu kami sedang bercakap tentang pemain tengah yang hebat.

"Dia menikmati tempoh di sini dan Zouma juga begitu. Bukan sahaja Gomes tetapi mereka berdua adalah kunci utama pasukan musim ini.

"Kami telah membantu mereka meningkat. Kini, terpulang kepada kami untuk melakukan segalanya dan kami mahu mengikat mereka secara kekal. Jika anda tanya saya, itu yang saya mahukan," ujarnya.

Dua lagi pemain yang bakal meninggalkan Everton adalah tonggak yang telah berkhidmat lama, Phil Jagielka dan Leighton Baines, yang tamat kontrak penghujung musim ini.

"Kami berbincang dengan mereka," tambah Silva.

"Ia sesuatu buat kami dan mereka juga perlu buat keputusan."

Everton menikmati penamat liga dalam musim sulung di bawah kendalian Silva apabila memenangi lima daripada tujuh aksi terakhir walaupun sekadar berada di tangga kelapan.