BURNLEY 0 LIVERPOOL 3

Liverpool meneruskan permulaan sempurna musim ini apabila mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Burnley di Turf Moor, awal pagi tadi.


Gol sendiri Chris Wood di samping jaringan Sadio Mane dan Roberto Firmino -- golnya yang ke-50 buat The Reds -- memberikan mereka kemenangan liga ke-13 berturut-turut (rekod tertinggi sepanjang zaman).

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu memenangi keempat-empat perlawanan pertama musim ini dan berkelebihan dua mata di depan juara bertahan, Manchester City, untuk mengungguli carta Liga Perdana Inggeris.

Juara Eropah itu berada di depan apabila hantaran lintang Trent Alexander-Arnold terbias ke badan Wood sebelum Mane melebarkan kedudukan menjelang waktu rehat.

Firmino pula memutlakkan kemenangan itu menerusi jaringannya pada minit ke-80.

Liverpol memaparkan aksi bertenaga sejak perlawanan, bermula dengan serangan yang dijana Firmino, Mohamed Salah dan Mane.

Salah memperoleh dua peluang di depan gawang Burnley dengan pemain kebangsaan Mesir itu melakukan sepakan lencong yang tepat ke tiang kanan sebelum memaksa penjaga gol lawan, Nick Pope, berusaha keras untuk menutup ruang tidak lama selepas itu.

Burnley memaparkan pertahanan terbaik untuk menyaingi keamatan pasukan pelawat, namun melakukan kesilapan yang memberikan Liverpool jaringan pendahuluan.

Seperti kebiasaan, pertahanan kanan, Alexander-Arnold, naik ke atas untuk membantu serangan dengan melakukan hantaran tinggi yang bertujuan mencari Salah di 'back post'.

Namun, sedikit biasan yang terkena belakang badan Wood memperdayakan Pope yang hanya mampu melihat bola itu melewati di atas kepalanya.

Jaringan kedua Liverpool tiba tidak lama kemudian apabila kesilapan hantaran Ben Mee dikesan Firmino.

Pemain kebangsaan Brazil itu kemudian meluru ke depan sebelum melakukan lorongan kepada Mane, yang tenang menemui penjuru kanan gawang lawan.

Prestasi cemerlang Firmino dimuktamadkan dengan jaringan ketiga The Reds apabila penyerang itu memula dan menyudahkan serangan balas pantas pada 10 minit terakhir permainan.