Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward, berkata keluarga Glazer tidak mahu menjual pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Kenyataan Woodward itu merujuk kepada spekulasi yang mengaitkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman, yang dikatakan mahu mengambil alih United.

Keluarga Glazer yang memiliki United sejak 2005 dan belum bersedia untuk menjual kelab itu -- dilaporkan telah menolak dua tawaran daripada Putera Mohammed.

"Berdasarkan apa yang saya lihat, mereka akan memilikinya untuk tempoh yang panjang," katanya kepada majalah penyokong, United We Stand, mengenai keluarga Glazer.

"Berkenaan tawaran dan harga yang diletakkan, pada pemahaman saya, tiada sebarang perbincangan mengenai harga kelab ini atau sesuatu seperti itu.

"Setiap perbincangan kami adalah berdasarkan tempoh panjang.

"Hutang itu adalah hutang jangka panjang, teratur dan sama seperti pasukan bola sepak lain.

"Ia amaun yang tetap untuk tempoh yang ditetapkan, yang menjadikan ia agak murah untuk dilangsaikan.

"Ia di bawah dua peratus daripada pendapatan tahunan kami, jadi ia tidak banyak memberi kesan kepada kami," katanya.

Woodward menonton dari tempat duduk penyokong ketika United mengikat pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, di Old Trafford lewat malam tadi.

Marcus Rashford menghasilkan gol pembukaan dalam babak pertama sebelum pemain gantian Liverpool, Adam Lallana, mengikat kedudukan pada penghujung aksi di mana rekod kemenangan The Reds dalam 17 perlawanan liga turut ditamatkan.

Ia membuktikan peningkatan daripada skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu, yang melewati empat perlawanan tanpa kemenangan dan terperuk di tangga ke-13 dengan 10 mata -- 15 mata di belakang Liverpool.